Thursday, July 28, 2016

Penubuhan Parti Baharu Akan Gugat Keamanan Negara - MP UMNO


Penubuhan parti baharu yang dicadangkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan mengugat keamanan negara, kata Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim. 

Katanya penubuhan parti baharu itu dilihat lebih membawa kemudaratan kepada Malaysia kerana Dr Mahathir bertindak demikian untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya bimbang negara akan menjadi kacau-bilau kerana pembangkang sebenarnya akan menggunakan sesiapa sahaja demi memastikan mereka dapat menumbangkan BN malah jelas terbukti bahawa gabungan pembangkang sekarang sangat rapuh dan tidak bersatu," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu Bernama Radio dalam program 'Langit Biru' di Wisma Bernama, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Dr Mahathir baru-baru ini mengenai cadangan untuk menubuhkan sebuah parti baharu, yang akan menjadi sebahagian pakatan pembangkang bersama DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.

Irmohizam berkata rakyat Malaysia harus menanam sifat patriotisme yang tinggi dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang mahu mengugat perpaduan kaum dan keamanan negara.

"Kita harus mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Turki apabila rakyatnya bangkit menentang rampasan kuasa oleh tentera dan menyokong Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ... ini jelas terbukti tahap patriotisme dalam kalangan rakyat Turki adalah tinggi," katanya.

Mengenai tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa diselewengkan, Irmohizam berkata isu itu tidak harus dipolitikkan memandangkan kerajaan telahpun mengambil perhatian dan meneliti perkara yang dibangkitkan itu.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails