Tuesday, July 19, 2016

Oh!! Menteri Rupanya Yang Putuskan Naik Caj Parkir KL Tu..


Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan caj parkir di ibu negara sejak kelmarin rupa-rupanya diputuskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, diakui Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz .

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar perkembangan itu dilihat membimbangkan kerana keputusan menteri yang membelakangi DBKL cenderung akan menjejaskan kepentingan rakyat khususnya kepada warga kota.

"Ini jelas kita sudah saksikan pada kenaikan 150 peratus caj parkir di Kuala Lumpur sejak semalam.



"Beberapa tahun lepas juga cadangan menaikkan cukai pintu diputuskan tanpa didahului dengan perbincangan dengan kami sebagai Ahli Parlimen.

"Sepatutnya, perlu ada konsultasi bersama semua pihak berkaitan termasuk SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat).

"Kita jangan lupa ada lebih 10 pihak agensi terlibat dengan pengangkutan termasuk SPAD. Malangnya, itu tidak berlaku. Pertimbangan tiada untuk menjaga kebajikan warga kota. Ini keputusan Menteri Wilayah. Itu yang Datuk Bandar maklumkan sebentar tadi," ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan Menara DBKL selepas satu pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur diadakan pagi tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR itu berkata, mekanisme agihan hasil kutipan ekoran kenaikan caj parkir melibatkan lebih 56,000 ruang letak kereta bermeter di bandar dan kawasan pusat perniagaan itu juga tidak jelas memberi keuntungan kepada DBKL.

"Padahal, aspek ini penting supaya hasil diperoleh ekoran kenaikan caj parkir ini dapat disalurkan kepada pengguna jalan raya melalui naik taraf dan penambahbaikan yang sewajarnya," tegas beliau.

Yayasan Wilayah Persekutuan untung banyak?

Mengulas perbincangan dengan Datuk Bandar sebelum itu, beliau mengesahkan Amin Nordin mengakui bukan di pihak pemutus kepada langkah menaikkan caj parkir melampau itu.

Dalam hal berkaitan, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua turut menegaskan kenaikan mendadak caj parkir di pusat bandar diikuti pada 1 Ogos depan di zon luar pusat bandar dan pinggir bandar adalah sebagai melampau.

"Kita juga turut mempersoalkan keuntungan dikutip oleh Yayasan Wilayah Persekutuan. Hanya sebahagian jumlah kutipan akan kembali kepada DBKL.

"Alasan kononnya untuk mengelak kesesakan trafik juga kita pertikai. Bantahan kita juga melampaui isu caj parkir. Ini melibatkan soal pencabulan hak sama ada di pihak DBKL sebagai badan berkuasa dan lebih-lebih lagi warga kota sebagai pengguna.

"Lebih parah, menganggu perancangan bandar apabila keputusan atau dasar diperturunkan daripada menteri tanpa didahului rundingan dengan pihak bertanggungjawab," jelas Tian lagi.

Difahamkan, Yayasan Wilayah Persekutuan memperoleh agihan 65 peratus daripada hasil kutipan caj parkir di Kuala Lumpur manakala selebihnya lagi kepada DBKL lapor MalaysiaDateline



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails