Wednesday, July 13, 2016

Muhyiddin Banyak Berbohong Mengenai 1MDB Puad Zarkashi Kata?


Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi segala persoalan yang dibangkitkan oleh Muhyiddin ternyata bercanggah dengan apa yang dilaporkan oleh PAC.

Malah ia sekaligus telah menjeratkan diri Muyiddin sendiri apabila yang turut menyokong dan meluluskan penubuhan 1MDB pada 2009 disaat beliau masih berada dalam kabinet dan antara Ahli parlimen yang meluluskan ketika pembentangan Bajet 2010.

Berikut kenyataan penuh Puad Zarkashi.

1- Amat menghairankan apabila tiba-tiba sahaja Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai 17 hujah mengenai 1MDB sedangkan sebelum ini, dia sering mendakwa tidak tahu, tiada maklumat, tidak pernah diberi taklimat dan dia tidak faham mengenai 1MDB melainkan selepas membaca The Edge dan pelbagai alasan lagi. Adakah 17 hujah ini ditulis oleh penulis ucapannya? 
2- 17 hujah serupa dengan soalan lazim Tony Pua, Ahli Parlimen Dap yang telah dijawab berkali-kali oleh 1MDB. Tony Pua adalah anggota PAC dan perlu diingatkan bahawa laporan PAC telah diterima secara konsesus oleh setiap anggotanya yang terdiri dari Ahli Parlimen BN dan pembangkang. Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi PAC, yang juga merupakan Ahli Parlimen Dap telah menyindir Tony Pua dan mengesahkan Najib tidak bersalah kerana RM2.6 bilion bukan dari 1MDB dan RM42 bilion tidak lesap seperti dakwaan Muhyiddin dan sekutunya Tun Dr Mahathir. 
3- Muhyiddin menyatakan bahawa “saya telah tegaskan dari awal lagi bahawa penubuhan 1MDB adalah tidak perlu. Dengan struktur modal hanya RM1 juta dan hutang RM42 bilion, model perniagaan 1MDB tidak mapan dan akhirnya menjadi beban kepada negara”. Muhyiddin mungkin terlupa bahawa dia merupakan anggota Jemaah Menteri yang meluluskan penubuhan 1MDB pada tahun 2009 dan jaminan kerajaan untuk pinjaman Islamic Medium Term Notes sehingga RM5 bilion pada 1 April 2009.
Muhyiddin juga lupa dia juga merupakan antara anggota Dewan Rakyat yang meluluskan peranan 1MDB bagi menarik pelaburan asing dari Timur Tengah, China dan India seperti yang dibentangkan dalam Ucapan Bajet Tahun 2010 pada 23 Oktober 2009. 
4- Muhyiddin mempersoalkan kononnya pelan rasionalisasi 1MDB dan penjualan aset-aset 1MDB tidak menjamin penyelesaian hutang 1MDB. Muhyiddin sekali lagi sengaja berbohong dan menafikan fakta bahawa 1MDB tidak pernah gagal membayar hutang dan faedah daripada mana-mana hutangnya seperti yang tercatat dalam Jadual 10, mukasurat 42 hingga 47 Laporan PAC. 
Pada Februari 2015, 1MDB telah membayar hutang sebanyak RM2 bilion kepada konsortium peminjam tempatan. Pada Jun 2015, 1MDB telah menyelesaikan hutang berjumlah RM3.6 bilion dari konsortium bank luar negara lebih awal dari tempoh matang, iaitu Ogos 2015. Pada 1 April 2016, 1MDB telah membayar baki hutang berjumlah RM3 bilion kepada konsortium peminjam tempatan, juga lebih awal dari tempoh matang pinjaman, iaitu Mei 2024. Pada 8 April 2016, 1MDB telah membayar penuh jumlah pokok dan faedah Kredit Tersedia sebanyak RM950 juta yang disediakan oleh kerajaan. Selain itu, melalui penjualan Edra Energy Global, hutang 1MDB telah berjaya dikurangkan sehingga RM17 bilion. Penjualan 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia boleh mengurangkan sehingga RM7 bilion lagi hutang 1MDB. Semua ini dilakukan tanpa ‘bail-out’ dan bantuan dari kerajaan. 
5- Muhyiddin dengan angkuh menyebut, “saya juga telah meminta seluruh ahli Lembaga Pengarah dipecat dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka. Baru kini mereka meletak jawatan.” Kejahilan Muhyiddin mengenai peraturan syarikat, undang-undang negara dan ajaran Islam, menyebabkan dia tidak memahami bahawa “sebarang pihak tidak bersalah melainkan selepas dibuktikan bersalah” dan undang-undang syarikat, negara dan hukum Islam menuntut penyiasatan dibuat terlebih dahulu berdasarkan bukti dan saksi yang ada sebelum hukuman boleh dijatuhkan. Tindakan memecat dan menghukum sebelum mereka dibuktikan bersalah menunjukkan sikap tidak usul periksa dan Muhyiddin.

Pada waktu yang sama, Muhyiddin tersalah fakta bila menyatakan bahawa ahli lembaga pengarah ‘telah meletak jawatan’ sedangkan kenyataan sebenar Lembaga Pengarah sebulat suara “menawarkan perletakan jawatan” mbagi memudahkan siasatan susulan oleh pihak berkuasa. 
6- Muhyiddin berbohong dan sengaja mengelirukan rakyat dengan menyatakan dia dihukum oleh Perdana Menteri kerana menyatakan kebimbangan mengenai 1MDB di dalam kabinet. Hakikat sebenarnya adalah dia digugurkan dari kabinet selepas beberapa kali membuat tuduhan melulu terhadap Perdana Menteri di luar mesyuarat kabinet sebelum siasatan dibuat. Dia membuat kenyataan yang membelakangkan keputusan Jemaah Menteri di luar mesyuarat kabinet. Tindakannya yg tidak mengamalkan collective responsibility punca besar dia digugurkan sebagai TPM dan anggota kabinet. Muhyiddin juga telah beberapa kali membuat kenyataan di luar Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan membelakangkan keputusan MT tersebut. 
7- Muhyiddin cuba meletakkan kelemahan tadbir urus pengurusan 1MDB ke atas bahu Perdana Menteri dengan menggunakan Artikel 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB. Muhyiddin gagal melihat bahawa penglibatan Perdana Menteri hanyalah pada peringkat DASAR dalam keputusan-keputusan berkaitan pelantikan dan pemecatan pengurusan atasan serta komitmen kewangan syarikat, termasuk pelaburan. Penglibatan Perdana Menteri pada peringkat dasar ini adalah disebabkan kehendak undang-undang dalam Memorandum dan Artikel penubuhan 1MDB yang mesti dipatuhi oleh beliau dan tidak sama sekali bermaksud beliau terlibat dalam urusan PELAKSANAAN operasi syarikat. 
Tanggung jawab ini hampir sama seperti tanggung jawab Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Menteri di kementerian masing-masing dalam meluluskan keputusan-keputusan dasar dan bajet. Penglibatan mereka dalam memutuskan perkara-perkara dasar adalah berdasarkan keperluan undang-undang dan peraturan kewangan. Ia tidak bermaksud mereka terlibat secara langsung pada peringkat pelaksanaan.
Sebagai contoh banyak sekali pembinaan sekolah sekolah baru yang terbengkalai, maka apakah beliau sebagai bekas Menteri Peajaran yang meluluskannya ketika itu patut dihukum dan meletak jawatan? Cadangan PAC agar Lembaga Penasihat bersama Artikel 117 Memorandum dan Artikel penubuhan syarikat dimansuhkan, bukan kerana jenayah telah dilakukan, tetapi perlu dilihat sebagai tindakan membebaskan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dari kehendak peraturan ini seterusnya memelihara integriti institusi Perdana Menteri. 
8- Muhyiddin sekali lagi sengaja mengelirukan rakyat apabila menyebut “Datuk Shahrol Azral mengesahkan pemindahan wang berjumlah USD1 bilion untuk usahasama dengan PetroSaudi Ltd telah mendapat KELULUSAN bertulis daripada Perdana Menteri” yang boleh memberi maksud kelulusan dari segi DASAR. Bagaimanapun pada ayat yang menyusul selepas itu, Muhyiddin dengan sengaja menggantikan perkataan “KELULUSAN” dengan “ARAHAN” dengan menyebut, “saya percaya pihak pengurusan 1MDB juga menerima ARAHAN daripada Perdana Menteri dalam membuat keputusan-keputusan pelaburan berisiko tinggi yang tidak masuk akal,” bagi menggambarkan seolah-olah Perdana Menteri campur tangan dalam urusan PELAKSANAAN keputusan-keputusan yang dibuat. 
9- Muhyiddin seterusnya membuat tuduhan liar apabila menyatakan “baki sebanyak USD700 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat Good Star Limited milik Taek Jho Low, iaitu kenalan rapat Najib”, sedangkan laporan Ketua Audit yang dirujuk PAC pada mukasurat 25 menyebut, “berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh Datuk Shahrol Azral pada 5 Jun 2015 dan kenyataan beliau semasa mesyuarat Jawatankuasa PAC pada 25 November 2015, akaun tersebut adalah milik Good Star Limited yang merupakan subsidiari Kumpulan PetroSaudi sejak 1 September 2009.” Dapatan Jabatan Audit Negara ini konsisten dengan kenyataan media PetroSaudi pada 1 Mac 2015 yang menjelaskan bahawa semua dana daripada 1MDB pergi kepada entiti milik Petrosaudi dan sebarang andaian lain adalah palsu. 
10- Muhyiddin tanpa merujuk laporan PAC, membuatkan kesimpulan berlebihan apabila menuduh “PENYELEWENGAN dalam 1MDB telah menyebabkan syarikat ini gagal menjana pendapatan yang mencukupi untuk membayar hutang.” 
Muhyiddin menyembunyikan hakikat bahawa 1MDB hanya diperuntukkan sejumlah RM1 juta sebagai modal permulaan dan terpaksa bergantung kepada hutang (pinjaman bank, bon dan sukuk) sebagai modal syarikat. Dalam laporannya, PAC tidak menyebut sama sekali PENYELEWENGAN sebagai punca 1MDB gagal menjana pendapatan, sebaliknya merumuskan pada mukasurat 104, “model perniagaan 1MDB terlalu bergantung kepada pinjaman dan ini amat membebankan syarikat dan tidak mampan kerana syarikat tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membiayai pinjaman dan kos operasinya.” 
Sekiranya Muhyiddin benar-benar merujuk laporan PAC, dia akan mendapati di mukasurat 34, pada tahun 2013 1MDB menjana pendapatan sebanyak RM2.59 dan pada tahun 2014 sebanyak RM4.259 bilion. 1MDB juga mencatatkan keuntungan pada tahun 2010, sebanyak RM424 juta, 2011 sebanyak RM544 juta, 2012 sebanyak RM44 juta dan 2013 sebanyak RM778 juta. Cuma pada tahun 2014, selepas beroperasi selama lima tahun, PAC menyebut di mukasurat 104, 1MDB mengalami kerugian sebanyak RM665 juta akibat menghadapi masalah ketidakseimbangan aliran tunai akibat bebanan hutang, bukan PENYELEWENGAN. 
11- Muhyiddin terus berbohong apabila menuduh, “tidak dapat juga dipastikan ke mana perginya wang USD700 juta dan USD330 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Good Star Limited milik Jho Low” 
Sedangkan dalam laporan PAC dan kenyataan akhbar Petrosaudi, telah disebut bahawa Good Star telah dibuktikan sebagai subsidiari Petrosaudi. Kenyataan media Petrosaudi pada 1 Mac juga telah menyebut bahawa tiada dana dalam usaha sama tersebut yang hilang, malah “kesemua pelaburan 1MDB telah dipulangkan secara penuh – bersama keuntungan.” Tidak timbul lagi soal untuk membawa dana ini kembali ke Malaysia jika perjanjian pertukaran aset dengan hutang antara IPIC dan 1MDB direalisasikan. Perjanjian ini boleh mengurangkan lagi hutang 1MDB sehingga RM16 bilion. 
12- Muhyiddin sekali lagi membuat tuduhan melulu bahawa 1MDB adalah satu skim untuk menipu. Katanya, “IPIC atau unitnya Aabar Investment PJS menafikan telah menerima USD3.5 bilion daripada 1MDB menerusi Aabar BVI. IPIC juga menafikan mereka ada sebarang kaitan dengan 1MDB.” 
Untuk makluman Muhyiddin, tiada kenyataan media dari IPIC yang menafikan sebarang kaitan dengan 1MDB. IPIC dan Aaabar hanya menafikan kaitan dengan Aabar BVI, bukan dengan 1MDB. Jika betul Aabar BVI tiada kaitan dengan IPIC dan Aabar PJS, kenapa sejak 2013, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh IPIC dan Aabar PJS mengenai status Aabar BVI dan kehilangan deposit? Kenapa pula IPIC terlibat dalam pelbagai urusan pembayaran hutang 1MDB termasuk memberikan AS$1 bilion pada 4 Jun 2015, bagi membantu pembayaran hutang 1MDB? Jika deposit ke dalam Aabar BVI tidak berkaitan dengan Aabar PJS dan IPIC, kenapa pula IPIC tidak membatalkan jaminan ke atas sukuk dan bon 1MDB, serta membuat laporan polis berkaitan kehilangan wang ini? Menurut 1MDB, mereka mempunyai segala dokumen kemasukan wang dan individu yang terlibat. Ia telah diaudit dan transaksinya tetap boleh dikesan tidak kira. Tetapi jika sekiranya 1MDB menjadi mangsa “scam” oleh pihak tertentu maka biarlah pihak berkuasa membuat siasatan. 
13- Di hujung kenyataannya, Muhyiddin terus menyerang Perdana Menteri dan menuduh beliau terlibat dan bertanggung jawab dalam penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB dan mendesak beliau meletak jawatan. 
Mungkin Muhyiddin tidak tahu bahawa Naib Pengerusi PAC yang merupakan juga Ahli Parlimen Dap, Tan Seng Giaw berkata bahawa tidak benar untuk mengaitkan Najib yang merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat berkenaan sedangkan segala urusan 1MDB ditentukan oleh Lembaga Pengurusan. 
14- Muhyiddin mungkin sudah lupa bahawa siasatan audit forensik oleh Jabatan Audit Negara merupakan susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac 2015 yang memutuskan supaya jabatan ini menentusahkan akaun 1MDB dan laporan berkenaan perlu diserahkan kepada PAC yang dianggotai oleh Ahli Parlimen BN dan pembangkang, untuk siasatan susulan. Keputusan ini merupakan bukti komitmen, keberanian dan keikhlasan Perdana Menteri untuk memastikan isu 1MDB disiasat secara telus dan tidak berpihak. Masalah TS Muhyiddin ialah dia semakin suka memutarbelitkan fakta dan membuat kenyataan provokasi walaupun terpaksa berbohong. Tetapi itulah TS Muhyiddin sekarang. 
Dipetik dari BNBBC


Siapa bohong sebenarnya?.. Puad atau Muhyiddin?

Jalan terbaik untuk membuktikan siapa yang banyak berbohong atau memperbodohkan rakyat dalam isu 1MDB ini ialah dedahkan laporan Audit 1MDB itu kepada umum..

Biar rakyat yang buat penilaian..



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails