Wednesday, June 29, 2016

Lim Guan Eng Ditahan SPRM


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekitar jam 6.30 petang di pejabatnya di Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Pulau Pinang.

Lim diiringi keluar dari pejabatnya bersama-sama beberapa orang pegawai SPRM bersama-sama dengan peguamnya, R.S.N.Rayer yang juga merupakan ADUN Sungai Delima untuk dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di George Town.

Sebelum penahanan, empat lelaki dipercayai pegawai SPRM dilaporkan menyerahkan waran tangkap kepada Lim yang sedang mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di pejabatnya sekitar jam 5.30 petang.



Menurut EXCO Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri yang juga merupakan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dalam akaun Twitter yang dimuat naik sekitar jam 5.50 petang tadi, Lim akan dibawa ke ibu pejabat SPRM.

Turut ditahan ialah ahli perniagaan wanita, Phang Li Khoon yang ditahan di pejabatnya di Penang Garden sekitar jam 4.15 petang.

Pada tengah hari, Lim turut mengadakan sidang akhbar berhubung debat terowong dasar laut yang diadakan di sini malam tadi.

Penasihat DAP yang juga bapa Lim, Lim Kit Siang dalam Tweetnya hari ini berkata anaknya itu ditahan SPRM atas dua tuduhan rasuah.

Sementara itu, beberapa anggota keluarga Guan Eng dilihat berada di ibu pejabat SPRM di sini.

Guan Eng sebelum ini disiasat SPRM berhubung pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini dengan harga RM2.8 juta daripada Phang dan dikatakan di bawah harga pasaran.

Mei lepas, Guan Eng dan isterinya Betty Chew memberi keterangan di pejabat SPRM berhubung siasatan pembelian banglo itu dan penjualan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin, di sini, bagi membina rumah mampu milik kepada sebuah syarikat swasta.

Mac lepas, Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan kedua-dua isu itu pada persidangan Dewan Rakyat. Dalam satu kenyataan SPRM bertarikh 25 Mei, agensi pencegahan rasuah tersebut telah melengkapkan siasatan terhadap rumah banglo dan dokumen telah diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

SPRM turut berkata satu tindakan undang-undang akan diambil sekiranya Peguam Negara berpuas hati dengan penjelasan dalam siasatan agensi pencegahan rasuah tersebut.

Waran yang dikeluarkan itu dipercayai berkait rapat dengan pembelian banglo di Jalan Pinhorn yang dibeli di bawah harga pasaran lapor AstroAwani


Sementara itu.. SPRM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan turut ditahan adalah ahli perniagaan wanita, Phang Li Khoon yang merupakan pemilik asal banglo yang dijual dengan harga RM2.8 juta.

Kedua-dua mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang esok pada jam 10 pagi.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails