Thursday, June 30, 2016

Kes Guan Eng Dipindah Ke Mahkamah Tinggi


Kes Ketua Menteri Lim Guan Eng di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Beliau sebelum itu tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen di sini, diiringi pegawai SPRM sambil disambut dengan laungan para penyokongnya yang berkumpul sejak jam 8 pagi lagi.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, dilihat tenang memasuki mahkamah bagi menghadapi dua pertuduhan.

Beliau yang berpakaian serba hitam dilihat memeluk bapanya, Lim Kit Siang dan bertemu isterinya, Betty Chew sebelum duduk bersama barisan peguamnya.

Setiausaha Agung DAP itu diwakili peguam diketuai Gobind Singh Deo, RSN Rayer dan Ramkarpal Singh.

Pendakwaan akan dilakukan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Appandi Ali yang dibantu enam pendakwaraya.

Sementara itu, di luar perkarangan mahkamah, kira-kira 1,000 penyokong DAP dan orang ramai berkumpul bagi mengikuti perkembangan kes berkenaan.

Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan berdiri di luar pagar Kompleks Mahkamah Pulau Pinang bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.

Keadaan di kompleks berkenaan masih terkawal dan hanya media serta petugas mahkamah sahaja dibenarkan masuk ke bangunan berkenaan.

Guan Eng sebelum ini disiasat SPRM berhubung pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini dengan harga RM2.8 juta daripada ahli perniagaan Phang Li Khoon yang dikatakan di bawah harga pasaran.

Beliau dan Betty, pada Mei lepas, memberi keterangan di pejabat SPRM berhubung siasatan pembelian banglo itu dan penjualan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini bagi membina rumah mampu milik kepada sebuah syarikat swasta.

Kedua-dua isu pembelian banglo dan penjualan tanah di Taman Manggis itu dibangkitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya pada persidangan Dewan Rakyat pada Mac lepas lapor AstroAwani


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails