Thursday, June 30, 2016

Guan Eng Belum Bersalah, Najib Bagaimana? - Tuan Ibrahim


PAS menganggap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng masih tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah.

“PAS tetap berpegang pada pendirian yang dinyatakan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Guan Eng tidak bersalah sehingga dibuktikan sedemikian,” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

“Tuduhan tidak boleh menjadi satu keputusan. Biarlah mahkamah yang membuat keputusan.”

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan layanan berbeza yang diberikan peguam negara dalam penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan wang RM2.6 bilion membabitkan perdana menteri.

“Sehingga hari ini, PAS tetap kesal dengan tindakan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menjadi hakim kepada siasatan SPRM terhadap Datuk Seri Najib Razak sebelum ini tanpa membawa kes tersebut ke mahkamah untuk dibicarakan seperti yang berlaku pada Guan Eng, di mana beliau menjadi ketua pendakwaraya,” katanya.

Pagi tadi, Guan Eng mohon dibicara atas pertuduhan berkait salah guna kuasa dalam meluluskan permohonan sebuah syarikat menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman.

Beliau turut didakwa menyalah guna kedudukannya dalam pembelian sebuah banglo daripada ahli perniagaan Phang Li Khoon pada harga RM2.8 juta, iaitu bawah daripada harga pasaran RM4.7 juta.

Kedua-dua tuduhan boleh membawa hukuman penjara sehingga 22 tahun, denda lima kali suapan atau rampasan hartanah.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails