Wednesday, June 1, 2016

GST Adalah Haram Tegas Dewan Ulama PAS


Dewan Ulama PAS sekali lagi menegaskan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah haram kerana gagal memenuhi syarat-syarat keharusan cukai.

Menurut Ketuanya, Datuk Mahfodz Mohamed, cukai tersebut haram kerana tidak memenuhi syarat keharusan cukai oleh ulama iaitu kerajaan perlu berada dalam situasi kewangan yang terdesak bagi menguruskan negara.

Malah, antara syarat lain pula, Mahfodz berkata ialah keperluan kewangan itu berlaku bukan kerana ketirisan dan pembaziran pengurusan kewangan serta cukai tersebut hanya dikenakan pada mereka yang mempunyai lebihan pendapatan.

"Dewan Ulama PAS tetap mempertegaskan bahawa GST haram kerana gagal memenuhi syarat-syarat keharusan cukai yang digariskan ulama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS ke-55 Tok Bali, Kelantan.

Cukai GST dilaksanakan pada 1 April tahun lalu.

Selain itu, beliau juga mengatakan bahawa kesan buruk GST menyebabkan kenaikan harga barang yang melampau.

"Dengan GST, harta rakyat termasuk golongan miskin dirompak secara berlesen sehingga menjangkau RM42 juta sehari sebagaimana yang diumumkan kerajaan," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai usul Rang Undang-undang Persendirian Akta 355 di Parlimen, Mahfodz meminta semua anggota parlimen beragama Islam agar membuka fikiran untuk menyokong perkara itu.

Dengan memetik surah al-Maidah ayat 49, Mahfodz turut merayu supaya tiada pihak yang cuba menghalang 'perjuangan' tersebut dengan pelbagai hujah serta niat yang buruk.

"Dewan Ulama menyeru seluruh anggota parlimen beragama Islam khususnya membuka hati dan fikiran dalam membahaskan usul ini.

"Dewan Ulama juga menyeru mana-mana parti dan kumpulan janganlah mengendurkan perjuangan ini dengan pelbagai hujah dan alasan dengan niat buruk dan salah demi untuk mengelabukan maqasid syariah dan sebagainya.

"Jangan tabur racun-racun halus sedemikian," ujarnya..

Laporan ini datangnya dari Malaysiakini dan disiarkan di SINI



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails