Wednesday, June 15, 2016

Amanah 'Bengong', Warnapun Serupa Tok Sami - Mohd Amar


Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyeru pengundi di parlimen Kuala Kangsar menolak Parti Amanah Negara (AMANAH) pada pilihan raya kecil (PRK) 18 Jun ini.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata ini kerana parti dengan logo berwarna jingga itu sebuah parti 'nanar'.

"Orang PAS kena kekal undi PAS. Jangan tukar dengan oren. Parti oren ini bagi saya parti nanar. Orang Kelantan kata nanar ini bengong. Politik dia politik nanar,” katanya ketika berucap dalam ceramah di Dataran Menora, Sayong, Kuala Kangsar malam tadi.



Mohd Amar berkata bukti AMANAH sebuah parti 'nanar' adalah apabila ia gagal membezakan warna logonya dengan warna pakaian tok sami, manakala lambangnya pula menyerupai sebuah stesen tv di India, Imayam TV.

"Bukti nanar ini, nak pilih warna pun tak pandai. Sebanyak-banyak warna yang ada dalam dunia ini yang Tuhan buat, dia pilih warna nak serupa dengan tok sami.

"Lambang pula lambang Imayam TV. Di situ nampak dah tak pandai memilih. Jadi kalau macam ni nak jadi pemimpin macam mana?," soal Mohd Amar di hadapan kira-kira 50 penyokong parti itu. 

Beliau juga mengajak pengundi Kuala Kangsar melakukan perubahan dengan menolak Umno kerana gagal meletakkan Islam sebagai keutamaan dan masih bersikap sekular.

"Orang Melayu dah lama bagi kepercayaan kepada Umno. Dari sudut perjuangan Islam tidak nampak usaha yang bersungguh dan berkesan dilakukan oleh Umno-BN.

"Apabila pemimpin Islam, tanggungjawabnya adalah memastikan agama Islam ini berdaulat. Tetapi dalam tempoh yang panjang ini negara kita masih kekal dengan sifat sekular. Masih jauh dengan kehendak agama," katanya.

Undi PAS dapat jambatan

Selain itu, Mohd Amar turut mengakui PRK ini tidak dapat mengubah kerajaan, namun percaya ia mamu memberi isyarat kepada BN yang hanya peduli kepada pengundi sewaktu tiba pilihan raya.

“Kalau PAS menang pun kerajaan tak akan bertukar, PM pun akan kekal.

"Kita akui PRK bukan nak ubah kerajaan, ia hanya memilih wakil rakyat yang baru tetapi kalau rakyat di Kuala Kangsar memberikan undi kepada PAS pertama ia akan menjadi isyarat yang besar kepada Umno (tentang) sikap dan pendiriannya kepada Islam dan Melayu.

“Umno kerana terlalu lama (memerintah) mereka menjadi lupa, dia (Umno) hanya cari pengundi bila tiba pilihan raya.

"Bila ada pilihan raya dia datang masuk kampung bagi periuk, dapur dan beruk pun kalau boleh dia akan bagi. Tetapi kalau tak ada pilihan raya dia tak peduli,” kata Mohd Amar.

Tambahnya, contoh paling mudah adalah cadangan membina Jambatan Manong yang diperkatakan sejak Tan Sri Rafidah Aziz menjadi anggota Parlimen.

Kini perdana menteri sekali lagi mengumumkan peruntukan membina jambatan itu, katanya.

"Kalau tak ada pilihan raya ini saya percaya tuan dan puan akan kecewa. Kali ini pun belum tentu lagi, baru janji, buat tak tentu lagi.

“Jadi kalau nak pastikan jambatan tersebut dibina kena undi PAS seperti mana PRK Manek Urai. Calon PAS menang nak tak nak akhirnya dia kena buat kerana sudah berjanji dan malu.

"Kalau undi BN sekali lagi belum tentu jambatan siap,” tambahnya...

Video sila lihat di ( SINI )

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails