Wednesday, May 11, 2016

Kemenangan BN Kerana Adenan Bukan Najib - Penganalisis


Kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu lalu merupakan referendum untuk Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem dan bukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, kemenangan itu juga berdasarkan penilaian rakyat terhadap kepimpinan Adenan.

Jeniri berkata, PRN dan PRU merupakan dua perkara berbeza kerana watak, isu dan penilainya juga berbeza.

Menurutnya, kemenangan BN di Sarawak disebabkan populariti Adenan yang mengatasi semua kaum selain sokongan kuat setiap masyarakat.

“Ia juga disebabkan 53 langkah transformasi yang diperkenalkan Adenan dan ia disenangi rakyat. Bahkan ‘Demam Adenan Satem’ juga telah ‘membunuh’ (secara politiknya) beberapa kerusi 'milik' DAP sebelum ini.

“Strategi politik dan aura Adenan merupakan aspek yang amat ampuh sehinggakan isu nasional seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), GST dan derma RM2.6 bilion tidak berupaya mempengaruhi pengundi termasuk di kawasan bandar,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kemenangan BN pada PRN Sarawak Sabtu lalu, hanya bersifat sementara dan kejayaan itu adalah kemenangan kerajaan negeri bukan Kerajaan Pusat.

Tambah Jeniri, pendekatan Adenan dengan menggempur kawasan yang diyakini mampu memberi kemenangan kepada BN dilihat berkesan.

Kemenangan BN di Sarawak bagaimanapun dilihat tidak dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Pusat sepenuhnya.

“Jika ada ia hanya berlaku pada tahap tertentu. Keyakinan itu bagaimanapun bagus untuk menyemarakkan psikologi dan moral perdana menteri dan kepimpinan BN, tetapi pada masa sama mereka perlu realistik bahawa undi tersebut adalah referendum untuk Adenan.

“Namun, sumbangan Najib dalam memastikan kemenangan kerusi di kawasan luar bandar amat penting. Kekerapan beliau turun padang dan komited berkempen serta membantu menyelesaikan masalah dan memenuhi aspirasi rakyat tanpa mengira etnik perlu diambil kira,” katanya lapor Sinar


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails