Tuesday, May 24, 2016

Derma RM2.6B: Versi Mana Satu Yang Betul?


Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menjelaskan versi sebenarnya mengenai sumber derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Penjelasan itu penting bagi merungkai segala macam versi mengenai sumber kewangan itu sejak didedahkan oleh The Wall Street Journal pada bulan Julai tahun lepas, ujar beliau yang merupakan ahli parlimen Gelang Patah.

Dalam versi terbaru, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi memberitahu Najib mengakui menerima dana itu, menerima kelulusan Bank Negara untuk membawa masuk wang itu setelah berbincang dengan gabenornya ketika itu, Tan Sri Dr. Zeti Akthar Aziz.

Selain Puad, Lim turut memetik kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada bulan Ogos tahun lalu yang berkata bahawa derma itu adalah 'negara sahabat'.

Empat hari kemudiannya pula, Ketua Umno cawangan Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat menyifatkan derma ke dalam akaun Najib adalah sumbangan politik Arab Saudi penghargaan kepada Malaysia yang memperjuangkan agama Islam dan mengamalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Namun, pada 22 Ogos, Timbalan Menteri Pengangkutan Abdul Aziz Kaprawi mengatakan derma itu datang daripada ‘sahabat Islam di Timur Tengah’ untuk membantu Umno menewaskan DAP dalam pilihan raya umum dan pada hari yang sama, (timbalan perdana menteri) Zahid (Hamidi) beritahu beliau berjumpa dengan wakil penderma yang memaklumkan derma itu adalah penghargaan usaha kerajaan menangani pengganas, dan membantu Barisan Nasional (BN) mengekalkan status Malaysia sebagai negara Sunni.” katanya.

British Broadcasting Corporation (BBC), tambah Lim, melaporkan sumber Saudi yang tidak mahu dinamakan mengatakan duit yang didermakan itu bertujuan membantu perdana menteri dalam pilihan raya umum yang lalu dan menguruskan pengaruh kesaudaraan Islam di Malaysia, katanya.

“Bolehkah Najib sekarang membuat pengesahan yang sama satu yang betul dan benar dan yang mana pula versi yang tidak betul, tidak benar.

Lim juga mahu Najib mendedahkan sama ada jumlah deposit yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah RM2.6 bilion atau RM4.2 bilion, ujar beliau lapor Malaysiakini



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails