Tuesday, May 10, 2016

AMANAH Mahu Bertanding Di Sg Besar, Kuala Kangsar?


Parti Amanah Selangor (AMANAH) sewajarnya mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Demikian kata Pengerusinya Izham Hashim yang berpendapat secara prinsipnya parti itu telah menggantikan tempat PAS dalam PH.

“Oleh kerana AMANAH menggantikan PAS dalam PH maka sewajarnya kami yang bertanding di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Kita ada ramai calon yang berkelayakan dan perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat AMANAH Nasional pada 15 Mei nanti,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika parti itu akan meletakkan calon untuk bertanding pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong selepas wakil rakyat terbabit, merangkap Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, Khamis lalu.

Tragedi itu turut meragut nyawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Konstabel Ahmad Sobri Harun.

Sementara itu, Izham turut diminta mengulas kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini yang menyarankan PAS kembali bersama DAP dan PKR sebagai sebuah pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti

“Mana-mana pimmpinan daripada komponen parti dalam PH bebas menjemput sesiapa atau mana-mana parti menyertai PH. Namun, kaedah penerimaan mestilah mengikut tatacara yang terkandung dalam perjanjian PH yang ditandatangani baru-baru ini.

“PH percaya pembangkang perlu bersatu di bawah satu platform bagi menghadapi BN.

“Walau bagaimanapun parti-parti berkenaan perlulah jujur dan bersedia mematuhi segala peraturan berhubung dengan perjalanan PH. Juga mereka perlu dipersetujui keahlian oleh ketiga-tiga parti komponen PH sedia ada,” tegasnya lapor FMT


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails