Wednesday, April 20, 2016

Tiada Apa-apa Yang Hendak Mueller Pulihkan Kata Bekas Pengarah Urusan MAS


Peletakan jawatan Christoph Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB) tidak akan mendatangkan masalah kepada syarikat penerbangan itu.

Bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines System Berhad (MAS), Tan Sri Abdul Aziz Abd. Rahman berkata, sebenarnya tidak ada apa-apa yang hendak dipulihkan oleh Mueller kerana MAB syarikat baru.

Beliau bukan mengepalai MAS yang memang diketahui mengalami masalah kewangan.

"Jadi selama ini apakah tugas Mueller. Khazanah Nasional (Khazanah) kata tugas mula untuk memulihkan MAS. Hakikatnya mana ada MAS sebab sudah ditutup.

"Yang ada MAB, sebuah syarikat baru. Syarikat baru hendak pulih apa, masalah pun tidak ada kerana memang sudah sedia ada kakitangan, kapal terbang dan laluan penerbangan. Inilah Khazanah patut jelaskan dari awal lagi," katanya yang mengulas pelepasan Mueller dari MAB mulai September ini. 

Kalau semata-mata hendak menerajui sebuah syarikat baru, Khazanah tidak perlu pun mengambil orang luar kalau pengambilan tersebut semata-mata mahu membuang 6,000 orang kakitangan MAS. 

Abdul Aziz yang tidak terkejut dengan berita peletakan jawatan itu berkata, pelantikan Mueller tidak memberi impak kerana konsep pemulihan yang diperbesar-besarkan selama ini tidak berlaku. 

Keuntungan MAB yang diumumkan baru-baru ini pun bukan luar biasa kerana kebanyakan syarikat penerbangan yang rugi sebelum ini pun merekodkan prestasi baik disebabkan penurunan harga minyak dan bagi MAB pula kerana ia syarikat baru.

"Apa yang saya nampak pemulihan yang didakwa selama ini hanya memberi kesusahan kepada kakitangan yang dibuang kerja kerana ada dalam kalangan mereka diberi ganjaran sepenuhnya dan ada yang tidak. Malah, kakitangan MAS yang diserapkan dalam MAB juga tidak berpuas hati apabila gaji dan elaun dikurangkan manakala kemudahan dan keistimewaan lain dihapuskan," katanya.

Secara sinis Abdul Aziz berkata, semasa MAS ditubuhkan pada tahun 1971 Malaysia tidak tahu apa pun tentang kapal terbang.

Tetapi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bertegas syarikat penerbangan itu diterajui oleh orang Melayu dan ternyata ia berjaya dilakukan.

"Sayangnya sudah 59 tahun merdeka, kerajaan mahu syarikat penerbangan miliknya dipimpin oleh orang asing," katanya yang mendakwa Malaysia Airlines kini mempunyai 15 pekerja ekspatriat. - MalaysiaGazette



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails