Friday, April 15, 2016

Tandatangan Tanpa Baca Dokumen? Najib Buat Kerja Bodoh! - Dr. M


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan, kali ini kerana "langkah bodoh" menandatangani dokumen tanpa membacanya.

Dr Mahathir berkata, ini berdasarkan hasil laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB yang menunjukkan bagaimana Najib diperlukan untuk mengesahkan semua keputusan penting yang dibuat.

"Bagaimana kita sahkan sesuatu dokumen? Kita sahkan dengan cara tandatangan. Bila kita tandatangan satu artikel, kita sahkan dokumen itu.

"(Tapi) ada lawyer Najib kata, itu tak bermakna (Najib) sahkan. Najib dia sign saja, tak tau apa-apa. Dia tak baca pun," katanya dalam forum laporan PAC mengenai 1MDB malam semalam.

Peguam Najib, Datuk Hafarizam Harun dipetik sebagai berkata Rabu lalu bahawa tandatangan Najib pada dokumen 1MDB adalah semata-mata untuk memenuhi keperluan tadbir urus korporatnya.

Beliau juga berkata majlis menandatangani dokumen tidak semesinya bermaksud perdana menteri mempunyai pengetahuan mengenainya atau membuat keputusan mengenai perkara berkaitan 1MDB.

"Macam mana orang macam ni boleh jadi perdana menteri? Saya nak minta kepada Najib, berasaskan kebodohannya sign dokumen tanpa baca, lebih baik dia letak jawatan sekarang," katanya.

Perkara 117 dalam memorandum dan artikel penubuhan syarikat (M & A) menyatakan bahawa Perdana Menteri perlu menandatangani semua keputusan penting.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dilaporkan memberitahu PAC tahun lepas bahawa klausa itu termasuk ketika firma itu dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan untuk melindungi kepentingan kerajaan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata laporan PAC nampaknya telah dibersihkan untuk membebaskan Najib daripada semua dakwaan tersebut.

Shahrol sejak itu mengisytiharkan tiada apa yang salah telah berlaku sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ~ Malaysiakini



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails