Friday, April 1, 2016

Sikap Boros Rosmah Memalukan, Bukan Hanya Najib Tapi Rakyat - Anina


Kegagalan Datuk Seri Najib Razak menyaman Wall Street Journal (WSJ) hanya mengiyakan dakwaan media itu berhubung sikap boros Datin Seri Rosmah Mansor, kata bekas ahli Pergerakan Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin.

Anina berkata, Perdana Menteri perlu melindungi rakyat Malaysia daripada tuduhan yang dibuat media itu mengenai perbelanjaan bernilai jutaan ringgit oleh Rosmah.

“Imej seorang Perdana Menteri adalah gambaran wajah rakyat sesebuah negara. Apabila Perdana Menteri Malaysia dilaporkan berbelanja di luar batasan fikiran oleh WSJ, ianya menggambarkan rakyat Malaysia adalah masyarakat tidak berintegriti.

“Laporan WSJ berkaitan dakwaan bahawa Najib berbelanja jutaan ringgit menggunakan kad kredit untuk barangan mewah isterinya ketika bercuti di Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja mengaibkan keluarga Najib, malah ianya juga mengaibkan rakyat Malaysia,” katanya kepada FMT di sini, hari ini.

Anina turut menggesa Perdana Menteri bertindak menyaman WSJ pada hari Isnin depan bagi membuktikan isterinya tidak bernafsu besar seperti yang digambarkan media terbabit.

Semalam, WSJ mendakwa memperoleh kertas siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menunjukkan Rosmah berbelanja mewah menjelang sambutan Krismas tahun 2014 di Hawaii, AS.

WSJ menyebut, kertas siasatan itu menunjukkan bahawa Rosmah membeli barangan mewah berjenama Chanel berharga AS$130,625 menggunakan kad kredit Perdana Menteri ketika membeli belah di Honolulu, Hawaii.

Lapor media antarabangsa itu, kad kredit Najib itu adalah sebahagian beberapa akaun peribadi Perdana Menteri yang didakwa daripada 1MDB.

Difahamkan, sekurang-kurangnya lima negara sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna dana 1MDB ~FMT



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails