Tuesday, April 19, 2016

Rakyat Tak Bodoh Kata Mukhriz


Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir membidas kenyataan beberapa menteri yang meminta semua pihak berhenti melemparkan tuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal sumbangan RM2.6 bilion.

Katanya, rakyat tidak bodoh dan begitu mudah mempercayai kenyataan seorang menteri luar dari Arab Saudi.

“Kita tidak boleh terima hanya satu kenyataan secara spontan oleh seorang menteri di luar negara dan anggap kes ini tutup, maka tidak perlu lagi kita bangkitkan perkara ini.

“Kalau kita nak siasat, ia ada proses dan prosedur tertentu. Kita kena interview (temuramah) pihak terlibat, dapatkan kenyataan bersumpah, kena tunjuk bukti-bukti, contohnya akaun, bagaimana wang ini bergerak daripada satu akaun di luar negara ke akaun Perdana Menteri sendiri,” katanya dalam satu wawancara khas yang dimuat naik ke dinturtleoriginal.blogspot.my.

Mukhriz merujuk kenyataan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir pada minggu lalu yang mengakui sumbangan RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sememangnya datang dari negara itu.

Adel dilaporkan sebagai berkata, sumbangan itu diberikan tanpa mengharapkan sebarang balasan dan pihaknya juga sedar Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti berhubung perkara itu dan mendapati ia tidak membabitkan sebarang salah laku.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu juga telah menimbulkan banyak persoalan dan keraguan.

“Apa kena-mengena seorang Menteri dari negara asing menyatakan dia pun anggap kes ini tutup, kerana Peguam Negara telah buat keputusan tersebut.

“Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu langsung tidak menyentuh soal angka yang dimaksudkan, siapa sebenarnya yang menderma. Dia tak sebut ini dari putera raja Arab Saudi dan apa tujuannya.

“Dia juga tidak sebut apa yang telah disebut Peguam Negara bahawa 2.03 bilion ringgit telah dipulangkan,” katanya lagi lapor FMT



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails