Friday, April 29, 2016

Oh! Patutlah Depa Nak Pasang Lagi1,200 Kamera AES...


Pemasangan 1,200 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di lebuh raya-lebuh raya di seluruh negara tidak harus dilihat sebagai hukuman sebaliknya adalah langkah untuk mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas, kata Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh MIROS pada 2014 menunjukkan bahawa 14 kamera AES yang dipasang di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terbukti berkesan dalam mengurangkan kemalangan maut akibat pemanduan laju dan salah laku pelanggaran lampu merah.

Menurut penemuan institut itu, terdapat pengurangan sebanyak 87.6 peratus kes pelanggaran lampu merah selepas kamera dipasang di beberapa persimpangan lampu isyarat tertentu di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dan Jalan Pasir Puteh di Perak, serta Jalan Klang Lama dan Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.



Pemasangan lebih banyak kamera AES di lokasi-lokasi strategik akan dapat mengekang pengguna jalan raya daripada memandu laju di sepanjang lebuh raya berkenaan, kata Lee.

"Lazimnya, apabila pemandu memasuki zon kamera, mereka cenderung untuk memperlahankan kenderaan dan memandu laju semula apabila melepasi zon tersebut. Tetapi mereka tidak akan dapat berbuat demikian selepas lebih banyak kamera dipasang kelak.

"Sudah tentu, tiada apa-apa yang menghalang mereka daripada memandu laju setelah melepasi zon kemera (di lebuh raya) tetapi sekurang-kurangnya, mereka sedar bahawa mereka tidak boleh memandu laju secara berterusan di sepanjang laluan berkenaan. Ia adalah satu cara untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara kita," katanya kepada Bernama.

AES TERBUKTI BERKESAN

Lee juga berkata bahawa kamera AES itu tidak boleh dianggap sebagai "perangkap" kerana ia mudah dilihat dan terdapat papan tanda yang mencukupi untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya.

Terdahulu, pada 9 April Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata bahawa sebanyak 1,200 lagi kamera AES akan dipasang di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara untuk merakam gambar-gambar pemandu kenderaan yang ingkar, serta mendidik mereka untuk mematuhi peraturan lalu lintas.

Menurut statistik Miros, sejumlah 489,606 kemalangan jalan raya berlaku pada tahun lalu, berbanding 476,196 pada 2014. Kemalangan tahun lepas mengakibatkan 6,706 kematian, iaitu purata kira-kira 18 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap hari.

Lee berkata memandangkan terdapat laporan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya paling tinggi di dunia, langkah-langkah berkesan perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

"Pemasangan AES bukan bertujuan untuk menghukum sebaliknya sebagai usaha pencegahan terhadap peningkatan bilangan kemalangan di negara ini," kata beliau.

Lee menegaskan bahawa pengguna jalan raya tidak perlu bimbang tentang pemasangan 1,200 kamera itu "jika mereka sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas".

Katanya sistem AES telah berjalan dengan baik di beberapa negara maju di Eropah, Australia dan Amerika Syarikat. Malah, sejak lewat 1970an, lebih daripada 90 buah negara di seluruh dunia telah menggunakan AES.

TOLAK DAKWAAN

Menurut laman sesawang Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, keberkesanan AES di Perancis telah membantu mengurangkan 27 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh tiga tahun pelaksanaannya.

Di United Kingdom pula, penggunaan AES berjaya mengurangkan sebanyak enam peratus pelanggaran peraturan lalu lintas manakala kemalangan di Kuwait berkurangan sebanyak 48 peratus.

Lee turut menggesa agar orang ramai sedar akan keberkesanan kamera AES dalam meningkatkan keselamatan di jalan raya dan tidak mendengar sebarang tuduhan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa sistem itu boleh disalahguna serta dimanipulasi.

Beliau berkata ketika projek perintis AES dilaksanakan di Malaysia pada 2012, banyak persoalan timbul mengenai keberkesanannya, tetapi kini telah bukti bahawa AES berkesan.

"Jadi, saya berpendapat orang ramai perlu faham bahawa kamera-kamera tersebut adalah penting untuk kebaikan dan keselamatan mereka sendiri lapor AstroAwani



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails