Thursday, April 14, 2016

Najib ‘Popular’ Kerana Salah Laku


Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini diukur melalui salah lakunya, dakwa Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), Kamarul Azman Habibur Rahman.

Beliau berkata, perkara itu boleh disifatkan sebagai memalukan, ditambah pula skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mendapat liputan meluas media antarabangsa.

“Adakah hari ini Najib popular? Beliau popular atas ‘wrong reasons’ (sebab-sebab salah).

“Beliau kena ada semangat ‘gentleman’, sebab sekarang ini beliau sudah tidak diperlukan. Sila berundur, sebab anda tidak berjaya lakukan apa-apa yang baik untuk negara ini,” desaknya ketika berucap pada ceramah ‘Mencari Kebenaran Selamatkan Malaysia’ di Taman Putra Perdana, malam tadi.

Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal bersama beberapa pemimpin daripada kumpulan penentang Najib.

Berucap di hadapan kira-kira 200 hadirin, Kamarul Azman mendakwa rakyat semakin muak dan tidak lagi boleh menerima apa yang dilakukan Najib.

Malah katanya, budaya mengampu di kalangan pimpinan UMNO semakin teruk, meskipun ada di kalangan mereka yang sedar akan kelemahan di dalam peringkat atasan parti.

“Masyarakat Melayu selalu berbangga dengan budaya ketimuran. Jika kita kaji sejarah dan sastera Melayu, kita akan dapati perkara paling ketara dalam budaya kita adalah budaya mengampu dan kita tidak boleh lari.

“Barusan ketua-ketua bahagian UMNO hari ini adalah contoh terbaik budaya mengampu diamalkan secara turun-temurun sehingga mencapai kemuncaknya hari ini. Jadi, kita nak beritahu ketua-ketua Umno, sudah-sudahlah,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, ramai ahli UMNO tidak memahami isu 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion adalah punca mereka tidak menyertai gerakan mendesak Najib berundur, menerusi Deklarasi Rakyat.

“Saya dah beberapa kali bercerita, mereka kata tak faham-faham. Di kawasan saya di Pagoh pun mereka minta beri taklimat. Berapa kali saya nak beri taklimat? Ahli UMNO tak faham-faham.

“Isu 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion ini ada kaitan dengan desakan kita (menerusi Deklarasi Rakyat) nak Perdana Menteri letak jawatan sekarang,” katanya sambil menegaskan, beliau tidak akan menentang Najib, jika tiada isu serius membabitkan Presiden UMNO itu.

Pada masa sama, Muhyiddin juga tidak puas hati dengan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung 1MDB yang tidak mengupas secara mendalam, kerana ada beberapa isu yang gagal dijawab dengan jelas.

“PAC mengatakan Perdana Menteri terkecuali dan tidak terlibat, kerana 1MDB tak beri laporan lengkap kepada PAC untuk membolehkan PAC buat satu rumusan mendalam, sedangkan PAC susah sediakan laporan dan menyatakan kepincangan tertentu.

“PAC juga tidak dapat mengesahkan kedudukan wang ini. Maknanya, laporan PAC pun tidak lengkap. Saya bukan hendak menidakkan bidang kuasa PAC, tetapi laporan itu mengakui ia tidak lengkap,” katanya ~ FMT



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails