Friday, April 8, 2016

Najib Kelemahan Terbesar 1MDB - IDEAS


Pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan ‘tindakan kurang bijak’.

Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata, pelantikan Najib itu juga merupakan kelemahan terbesar 1MDB.

“Najib adalah orang bertanggungjawab memberi nasihat termasuk kepada Yang di-Pertuan Agong pun perlu akur dengan nasihatnya. Adakah mungkin untuk mana-mana Pengarah 1MDB untuk menolak nasihat yang diberikan Najib?

“Apabila struktur tadbir urus syarikat ini mengarut, maka kita tidak boleh menghentikan orang ramai daripada membuat sebarang tuduhan,” katanya dalam satu kenyataan yang mengkritik pentadbiran dan urus tadbir 1MDB.

Kata Wan Saiful lagi, pelantikan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB menunjukkan wujud konsep ‘pemerintahan diktator secara bayang-bayang’.

“Kuasa dan pengaruh yang dimiliki oleh Perdana Menteri dan kapasitinya dalam 1MDB perlu disiasat untuk menentukan sama ada beliau (Najib) bertindak sebagai ‘pengarah bayangan’. Jika tidak, segala siasatan yang dijalankan tidak akan selesai,” katanya.

Dalam masa sama, Wan Saiful turut meminta kerajaan memantau tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain untuk mengelak seperti apa yang berlaku dalam 1MDB.

“Jika 1MDB mempunyai hutang RM50 bilion, bagaimana kita hendak tahu jika ada lagi GLC di peringkat negeri dan Persekutuan yang menanggung banyak hutang atau hutang sekadar satu peratus.

“Perlu ada kajian semula yang komprehensif di entiti korporat milik kerajaan Persekutuan dan negeri supaya kita tahu bagaimana perkara-perkara yang tidak baik sebenarnya terjadi apabila kerajaan menjalankan perniagaan,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mengeluarkan laporan siasatan ke atas 1MDB dan dengan menyenaraikan beberapa kelemahan dalam pentadbiran.

Antaranya, syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu menanggung hutang sebanyak RM50 billion dan banyak keputusan yang dibuat tidak mematuhi peraturan syarikat.

Bagaimanapun, laporan itu tidak meletak kesalahan kepada Najib kerana Perdana Menteri tidak terlibat secara langsung dengan segala kelemahan 1MDB.

Timbalan Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw berkata, pihak pengurusan 1MDB perlu dipersalahkan di atas kelemahan dan kepincangan yang berlaku dalam syarikat itu ~ FMT



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails