Wednesday, April 27, 2016

Muhammad Ibrahim Dilantik Gabenor Bank Negara Baru


Datuk Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia untuk tempoh lima tahun mulai 1 Mei.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu kenyataan media hari ini.

"Saya yakin di bawah kepimpinan Datuk Muhammad, Bank Negara Malaysia akan meneruskan sumbangannya dalam membantu kerajaan, memberi nasihat dan pandangan bagi memacu perkembangan ekonomi negara, serta mentadbir dasar monetari dan mengawal selia industri kewangan negara, termasuk juga meneruskan usaha Bank Negara Malaysia membangunkan industri kewangan dengan sewajarnya," kata Najib.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang tamat kontrak pada hujung bulan ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Zeti di atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Gabenor Bank Negara yang ketujuh.

Muhammad, 56, menyertai Bank Negara pada 1984 dan menjadi Timbalan Gabenor sejak Jun 2010.

Beliau bertanggungjawab memantau pengurusan rizab antarabangsa dan pasaran kewangan serta operasi tukaran asing.

Beliau juga pernah berkhidmat di bahagian pemantauan perbankan dan kawal selia insurans dan perbankan luar pesisir.

Muhammad sebelum itu memegang jawatan Pengarah Urusan Danamodal Nasional Bhd, sebuah agensi permodalan bank yang dibangunkan sewaktu krisis kewangan Asia.

Beliau juga mempunyai ijazah Sarjana dari Harvard University lapor AstroAwani



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails