Thursday, April 14, 2016

Mengapa Wan Azizah Jauhi Gerakan Selamatkan Malaysia Dr M?


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akhirnya menyerang secara terbuka orang kuat gerakan Selamatkan Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjelaskan sebab beliau enggan menyertai pakatan tersebut.

Ketua pembangkang yang menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau dipenjara atas tuduhan liwat, sebelum ini tidak memberikan sebab mengapa tidak turut sama dalam gerakan itu.

Dalam pendedahan beliau kepada Malay Mail Online, Azizah berkata ia disebabkan wawancara Dr Mahathir bersama akhbar The Australian mendakwa Anwar tidak mempunyai moral untuk memimpin negara.



“Saya kesal Dr Mahathir memilih untuk terus meluahkan rasa dendam dan kebencian terhadap Anwar. Ia berterusan walaupun Anwar bermurah hati memaafkan keterlanjuran Dr Mahathir sebelum ini.

“Tetapi apabila beliau memilih untuk mengulangi serangan keji terhadap peribadi Anwar menggunakan institusi sama yang dibantu kawal dan dipengaruhi beliau, dan kini memilih untuk menyerang pula, saya fikir ia tidak dapat diterima,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini mengulangi tuduhan liwat ke atas Anwar mendakwa punca ketua umum PKR itu tidak dapat menjadi perdana menteri.

Bekas pengerusi Proton dalam wawancara bersama akhbar Australia turut mendakwa Anwar, yang akan berumur 69 tahun Ogos ini, “terlalu tua” untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Dr Wan Azizah juga cuba menjelaskan peranannya di sebalik gabungan Selamatkan Malaysia yang terdiri daripada wakil rakyat pembangkang, pemimpin NGO, dan juga beberapa ahli veteran Barisan Nasional (BN).

Katanya, gabungan yang dipimpin Dr Mahathir itu bukan hanya perlu bertujuan menyingkirkan perdana menteri sedia ada, tetapi juga memenuhi keinginan rakyat untuk pembaharuan institusi.

“Pertama saya percaya deklarasi itu patut meliputi kehendak rakyat untuk pembaharuan institusi dan tindakan konkrit untuk melihat berakhirnya rasuah yang endemik,” katanya, merujuk kepada Deklarasi Rakyat oleh gerakan itu.

“Keduanya Dr Mahathir mesti memahami makna kerjasama pembangkang dan masyarakat, kita tidak boleh menggunakan kaedah autokrasi kerana kita bekerja berdasarkan konsensus; mengutamakan kebajikan rakyat yang terjejas oleh kelembapan ekonomi semasa dan kepincangan tadbir urus.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu berkata Dr Mahathir mesti belajar menerima hakikat bahawa bukan beliau memutuskan tetapi pengundi memilih siapa yang patut memimpin negara.

“Mengawal pemikiran cuma melambangkan golongan tua,” katanya, memaksudkan Dr Mahathir.



Dr Mahathir, bersama ahli politik kerajaan dan pembangkang bersama masyarakat sivil melancarkan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac dalam satu gerakan yang dipanggil Selamatkan Malaysia bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Perdana menteri paling lama memerintah itu dibenarkan berucap semasa himpunan membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan minggu lalu selain dilihat menghadiri himpunan Bersih 4 tahun lalu.

Baca seterusnya di Malay Mail Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails