Saturday, April 2, 2016

Mahathir Buat Kejutan, Hadir Himpunan Anti-GST


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini hadir pada perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) anjuran Pakatan Harapan yang juga menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ketibaan beliau telah diumumkan oleh Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu yang membuat ucapannya di atas sebuah lori kecil.

Oleh kerana ribuan yang berhimpun, Mohamad menggesa peserta perhimpunan dan media untuk memberi laluan kepada pemimpin berusia 90 tahun itu.

Mahathir kemudiannya mengambil tempatnya di pentas lori dan berkata beliau sendiri telah meminta Najib untuk tidak melaksanakan GST tetapi beliau meneruskan juga rancangan itu kerana mahu "menyelesaikan hutangnya".

“Sebab itu kita mesti jatuhkan Najib, dia lah punca masalah yang dihadapi kita semua sekarang," katanya.

Sambil mengambil contoh 6,000 kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS) yang diberhentikan dan 1,000 pekerja Petronas mengalami nasib sama, Mahathir berkata, seolah-olah adalah begitu mudah untuk memecat mereka.

"Saya juga kena buang juga," katanya merujuk kepada pemecatan beliau sebagai penasihat Petronas, sambil disambut gelak ketawa dari orang ramai.

Sementara itu, Mahathir berkata beliau menghargai hakikat bagaimana ribuan berkumpul walaupun panas terik semata-mata untuk mluahkan masalah mereka kepada kerajaan.

"Tetapi malangnya, Najib pekak dan bisu. Apabila ada tunjuk perasaan macam ini, dia tafsir (seolah-olah) orang Cina cuba menjatuhkan kerajaan.

"Ini orang Melayu semua, orang Cina pun ada, India ada. Oleh itu kita kena singkirkan Najib.

"Tolong tandatangani deklarasi, supaya dapat kita hadapkan rintihan rakyat kepada Raja-raja Melayu," katanya lapor Malaysiakini



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails