Tuesday, April 19, 2016

Kerana Mahathir, Bukan Saja UMNO.. PKR Pun Haru Biru..


Semua orang beranggapan kritikan dan serangan berterusan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memecah belahkan UMNO.

Mereka percaya, Dr Mahathir telah menyebabkan ahli UMNO membenci Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.

Mereka juga percaya bekas Perdana Menteri telah menyebabkan UMNO berpecah dua – menyokong dan menentang Najib.

Hakikatnya memang betul UMNO berpecah kerana Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz yang bergabung dengan pemimpin pembangkang untuk menggulingkan Najib.

Mereka bersama-sama menjunjung Deklarasi Rakyat kononnya untuk Selamatkan Malaysia daripada terus musnah di bawah pentadbiran Najib.

Namun, dari hari ke hari, nampaknya usaha itu semakin hambar. Sengat dan taring Dr Mahathir serta Muhyiddin semakin tumpul dan tidak berbisa lagi. Rakyat pula makin hilang minat.

Ketika semua mata tertumpu kononnya berlaku perpecahan dalam UMNO, tanpa sedar atau buat-buat tak sedar ialah perpecahan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana Deklarasi Rakyat dan Dr Mahathir.

Penyokong PKR seolah ‘butakan mata dan pekakkan telinga’ tentang perpecahan yang sedang berlaku dalam PKR ketika ini. Khabarnya Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wah Ismail dan anaknya Nurul Izzah berjuang sendirian untuk pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nama-nama besar dalam PKR seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung dan Naib Presiden, Rafizi Ramli, Tian Chua dilihat lebih menyokong Dr Mahathir maka tinggalkan Wan Azizah dan pejuang reformasi yang kebanyakan telah meniti usia senja memperjuangkan nasib Anwar bagi mengelak pemimpin agung itu mereput dalam penjara.

Tidak hairanlah secara tiba-tiba nama Ezam Mohd Noor kembali menjadi sebutan apabila didakwa beliau mahu kembali menyertai PKR.

Ada pihak yang mengatakan Wan Azizah mahu Ezam kembali untuk mencantas pemimpin tertentu yang dilihat terlalu berkuasa dalam PKR. Namun ada pihak yang memberitahu, Ezam telah lama menyuarakan hasrat untuk kembali ke pangkuan PKR tetapi dibantah pemimpin-pemimpin PKR yang tertentu.

Rakyat melihat PKR sebuah parti yang tenang namun sebenarnya parti itu penuh dengan pergolakan.

Anwar yang mulanya dikatakan menyokong Deklarasi Rakyat tetapi mengubah pendirian apabila mengkritik kerjasama Dr Mahathir.

Tiba lama selepas itu, timbul cerita dalam kalangan ahli PKR bahawa surat sokongan dari Penjara Sungai Buloh itu sebenarnya palsu, bukan ditulis Anwar.

Tidak hairanlah Wan Azizah enggan menerima Deklarasi Rakyat selagi pembebasan Anwar tidak dimasukkan sebagai salah satu agenda. Peliknya hanya Wan Azizah yang menyuarakan perkara ini sedangkan pemimpin kanan PKR lain diam seribu bahasa.

Dan sehingga hari ini, Wan Azizah enggan berjumpa dengan Dr Mahathir kemungkinan besar beliau tidak boleh memaafkan tragedi 1998 yang mengheret beliau dan keluarga ke kancah politik.

Dr Mahathir bukan sahaja menghina Najib dan pemimpin UMNO lain tetapi juga Anwar. Baru-baru ini ketika ditemubual media antarabangsa, Dr Mahathir sekali lagi menghina dengan melabelkan Anwar pemimpin tidak bermoral dan tua, maka tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Yang hairannya, pemimpin kanan PKR yang selama ini berjuang bersama-sama Anwar seakan terpukau dengan Dr Mahathir dan tidak mampu menolak penghinaan terhadap Anwar, maka mereka menerimanya.

Kerana Deklarasi Rakyat dan Dr Mahathir, pemimpin PKR telah menunjukkan mereka sebenarnya tidak boleh dipercayai dan bukan pemimpin setia.

Kesian Anwar dan Wan Azizah. Mereka tidak habis-habis dikenakan oleh Dr Mahathir dan orang-orang yang rapat yang kononnya berjuang untuk keadilan tetapi sebenarnya lebih kepada kepentingan politik sendiri.

Nampaknya Anwar patut memikirkan secara serius untuk bersara dalam dunia politik kerana beliau semakin tidak relevan dan tidak lagi dipandang mulia oleh pemimpin PKR apatah lagi pemimpin pembangkang lain.

Apa yang agaknya ada dalam kepala pemimpin kanan PKR yang menyokong Dr Mahathir? Mereka sedar Deklarasi Rakyat untuk menjatuhkan Najib bukan menjatuhkan UMNO atau BN. Jika Najib turun, penggantinya juga Perdana Menteri dari UMNO. Seperti tiada kebaikan kepada pembangkang yang menyokong Dr Mahathir kecuali publisiti murahan.

Dalam soal ini, kita patut ucap tahniah kepada PAS yang ‘masih waras’ berbanding parti pembangkang lain. Walaupun dihina dan dikeji penyokong pembangkang, PAS bijak dan tidak terperangkap dengan permainan Dr Mahathir yang sebenarnya ada agenda tersembunyi untuk menjatuhkan Najib.

Tahniah juga kepada pejuang reformasi tulen dalam PKR yang sedar dengan permainan politik dan masih setia memperjuangkan agenda untuk mereformasikan pentadbiran secara keseluruhan bukan sekadar menjatuhkan seorang pemimpin bernama Najib Razak lapor FMT



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails