Monday, April 4, 2016

Hanipa Maidin Dikejarkan Ke HKL Selepas Pengsan Dalam Dewan


Anggota Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dikejarkan ke hospital kira-kira jam 5.30 petang tadi apabila didapati pengsan sewaktu persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan selama 15 minit hari ini.

M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang ditemui pemberita berkata Mohamed Hanipa tidak keluar dewan sewaktu rehat dan beliau bersama Charles Santiago (DAP-Klang) telah mendekati Anggota Parlimen itu dan mendapati beliau telah pengsan di kerusinya.

"Beliau kemudian dibawa dengan kerusi roda ke klinik Parlimen dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Kulasegaran berkata sebelum itu Mohamed Hanipa dikatakan mengadu loya dan lemah beberapa ketika sebelum waktu rehat tersebut.

Dewan ditangguh selama 15 minit untuk memberi laluan Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) membawa usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat 2015 ke Jawatankuasa Pilihan.

Terdahulu, Mohamed Hanipa rancak berbahas dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkenaan RUU tersebut.

Mohamed Hanipa merupakan anggota Parlimen Sepang sejak 2013 di bawah tiket PAS sebelum menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) tahun lalu lapor AstroAwani



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails