Wednesday, April 6, 2016

Ezam Bidas Penahanan Rafizi, Sifatkan Langkah Kebelakang


Bekas senator Mohamad Ezam Mohd Nor menyifatkan penahanan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sebagai "langkah ke belakang".

"Menahan Rafizi atau sesiapapun di bawah OSA adalah tindakan yang salah dan langkah kebelakang," katanya dalam laman Facebook hari ini.

Ezam yang ditahan di bawah akta yang sama pada tahun 2002 memetik keputusan hakim KN Segara yang membebaskan beliau pada 2003.

"Saya sudah tegaskan berkali-kali, baca hujahan penghakiman KN Segara pada tahun 2003 yang membebaskan saya setelah dua tahun ditahan.

"Penahanan itu tidak diputuskan salah. Banyak ruang pencabulan hak membongkar rasuah dalam kes itu. Penahanan OSA mesti atas asas keselamatan negara semata-mata, bukan atas alasan lain," tegas Ezam.

Rafizi ditahan semalam di bawah Seksyen 8 Akta OSA selepas mendedahkan dokumen rahsia mengenai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Dia ditahan semalaman di pusat tahanan polis Jinjang dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada hari ini untuk ditahan reman.

Ezam, pada tahun 2010, mendakwa beliau adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang dipenjara kerana OSA, dalam mempertahankan pelantikannya sebagai senator.

Beliau dijatuhi hukuman penjara dua tahun di bawah OSA kerana membocorkan dokumen berhubung siasatan rasuah ke atas bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz.

Ezam, yang pada masa itu ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Bekas Ketua Pemuda PKR itu meninggalkan parti itu pada tahun 2007 kerana hilang keyakinan terhadap bekas bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyertai semula Umno pada tahun 2008.

Selepas tempoh beliau sebagai senator berakhir pada 2014, beliau kini berkhidmat sebagai Pengerusi Hisbah Centre For Reform lapor Malaysiakini



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails