Saturday, March 5, 2016

Selamatkan Malaysia Agenda Lebih Penting Kata Bekas Tahanan ISA Dizaman Mahathir


Aktivis Hishamuddin Rais yang suatu ketika dahulu lantang menentang pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001 tidak kisah mengetepikan perbezaan pandangan untuk bersama-sama menandatangani deklarasi dilancarkan bekas perdana menteri itu demi menyelamatkan Malaysia.

Hishamuddin berkata, tidak dinafikan sememangnya terdapat perbezaan jalur politik dan fahaman dalam gerakan dilancar Dr Mahathir, namun agenda lebih besar menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih penting.

"Ya betul, memang ada pelbagai jalur politik dan fahaman.

"Tapi semua disatukan dalam agenda besar iaitu selamatkan Malaysia.

"Negara ini perlu diselamatkan daripada kepimpinan Najib," katanya semasa ditemui selepas pelancaran Deklarasi Rakyat Dr Mahathir di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Hishamuddin yang terkenal dengan kelantangan menentang Dr Mahathir semasa era reformasi 1998 selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan giat berkempen menentang kezaliman bekas pemimpin yang banyak memenjarakan aktivis dan ahli politik pembangkang.

Hishamuddin menegaskan, penyingkiran Najib satu daripada agenda dalam deklarasi hari ini tetapi mereka juga mendesak supaya perubahan struktur sistem negara dilakukan dengan segera.

"Kita fikir bukan sahaja Najib diganti tapi juga perubahan struktur dan sistem juga perlu dibuat, seperti yang dikatakan tadi kita juga meminta pilihan raya yang adil dan bersih dan beberapa perkara lain," katanya.

Dr Mahathir hari ini melancarkan satu gerakan dikenali sebagai Deklarasi Rakyat bagi mendapatkan sokongan untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

Beberapa pemimpin utama pembangkang dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada pelbagai latar belakang juga hadir bagi menyatakan sokongan bersama dengan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails