Monday, March 14, 2016

Selamat Tinggal Daripada The Malaysian Insider..


Selamat tinggal semua pembaca yang jauh dan dekat, dan kepada mereka yang membaca kami di Malaysia meskipun mendapat sekatan daripada kerajaan.

The Edge Media Group membuat keputusan menutup The Malaysian Insider bermula tengah malam hari ini, atas alasan komersial. Mungkin ini masa yang sesuai kami bersiaran secara offline bermula bulan ini.

Saya berharap kami sudah memberikan khidmat terbaik kepada anda sejak hari pertama penerbitan langsung kami pada 25 Februari, 2008. Dan saya berharap yang lain akan terus memberikan perkhidmatan kepada anda ketika ketiadaan kami.

Kami bekerja sebagai wartawan yang tidak berat sebelah untuk memberi maklumat kepada rakyat Malaysia dan pembaca lain supaya mereka beroleh keputusan yang baik. Kami bekerja untuk membolehkan suara semua pihak didengar.

Tetapi kerja kami di The Malaysian Insider kini berakhir dalam Malaysia yang pada masa ini memerlukan lebih banyak lagi kejelasan, ketelusan dan maklumat.

Semuanya sudah diluahkan dan dibuat, saya mengucapkan terima kasih kepada setiap daripada anda di Malaysia, seluruh dunia, dan kepada mereka yang bersama dengan The Malaysian Insider dari hari pertama hingga kini atas segala sokongan, ucapan dan kritikan sepanjang 8 tahun dan 18 hari yang hebat untuk The Malaysian Insider.

Saya tidak akan berhenti menulis, saya tidak akan berhenti merakamkan gambar, saya tidak akan diam dan saya tidak akan pejam mata atau memekakkan telinga terhadap apa yang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia. Dan saya minta anda buat perkara yang sama.

Dan saya akan selalu jadi peminat tegar portal berita yang bernama The Malaysian Insider.

Selamat tinggal... dari Jahabar Sadiq



Pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang menyifatkan The Malaysian Insider (TMI) adalah mangsa terbaru pemerintahan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri..

"Najib dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak mungkin bangga dengan pencapaian mereka menyebabkan ‘kematian’ TMI, terutama dengan tindakan kerajaan menyekat portal berita itu bulan lalu. 
"Tetapi bagi rakyat yang mampu berfikir, tiada apa yang patut digembirakan tetapi perasaan dukacita yang amat besar berhubung kematian TMI," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Edge Media, Ho Kay Tat mengesahkan bahawa portal berkenaan tidak menerima sokongan komersial yang mencukupi bagi memastikan ia dapat berterusan.

Kumpulan The Edge Media, katanya, mengalami kerugian kira-kira RM10 juta dalam tempoh 20 bulan sejak ia mengambil alih portal itu pada Jun 2014.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails