Sunday, March 6, 2016

Perbuatan Mahathir Tidak Dilupakan, Tapi Kita Perlu Melangkah Ke Depan..


Tiada siapa boleh melupakan apa yang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998, tetapi ketika ini, yang penting ialah untuk terus bergerak ke depan demi kepentingan negara, kata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Star Online melaporkan menteri besar Selangor itu berkata, "perdamaian" yang menyaksikan Dr Mahathir bekerjasama dengan pemimpin pembangkang dan tokoh masyarakat sivil untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah "baik untuk negara ini".

"Apa yang berlaku pada 1998, saya pasti tidak boleh lupakan. Tiada siapa yang lupakan sejarah. Ia untuk kita mengambil iktibar daripadanya.

"Tetapi kita perlu bergerak ke depan dan saya fikir sudah tiba masanya bagi kita untuk teruskan," beliau dipetik sebagai berkata oleh portal berita itu.

Pada Jumaat, Dr Mahathir mengetuai lebih 50 individu menandatangani Deklarasi Rakyat yang menggesa penyingkiran Najib dan beberapa pembaharuan kepada institusi, seperti usaha memulihkan integriti untuk "institusi yang dilemahkan" seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Bank Negara Malaysia.

Azmin berkata, lebih banyak mesyuarat akan diadakan dengan semua pemimpin yang menandatangani perisytiharan itu, bagi membincangkan tindakan seterusnya yang akan diambil.

“Kita perlu turun padang dan jelaskan kepada rakyat supaya mereka faham isu ini.

“Kita akan terus berbincang dan memastikan apa saja yang kita sudah beri komitmen dalam resolusi itu akan dilaksanakan secepat mungkin,” beliau dipetik berkata.

Beliau berkata serangan balas pemimpin Umno kepada Dr Mahathir kerana mengepalai deklarasi itu adalah lumrah, kerana para pemimpin parti Melayu terbesar negara itu tidak mungkin akan dapat menerima hakikat mereka akan ditumpaskan selepas perubahan besar-besaran berlaku di Malaysia.

Azmin juga mengatakan, tiada soal peribadi wujud dalam kerjasama antaranya dan Dr Mahathir, kerana deklarasi itu ialah tentang selamatkan Malaysia.

“Saya pernah berkhidmat sebagai pemimpin kanan Umno selama 13 tahun, sudah tentu, saya mempunyai hubungan rapat dan peribadi dengan Dr Mahathir selama beberapa tahun.

“Kami hadir di sana sebagai rakyat Malaysia mewakili pelbagai parti politik, ideologi dan pergerakan masyarakat sivil yang berbeza, demi kepentingan negara dan rakyat.

“Ia bukan soal pilihan peribadi, bagi saya ia soal prinsip.” ~ The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails