Friday, March 25, 2016

Nilai Semasa Harga Banglo Guan Eng Lebih RM2.8 Juta?


Nilai semasa hartanah di sekitar kawasan Green Lane di sini dianggar bernilai RM400 hingga lebih RM900 sekaki persegi, bergantung kepada keadaan rumah.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan itu termasuk Jalan Cheeseman, Halaman Free School, Jalan Pinhorn dan Jalan Masjid Negeri mendapati kebanyakan rumah dengan keluasan antara 3,000 dan 6,000 kaki persegi ditawarkan pada harga RM1.6 juta hingga lebih RM5.6 juta.

Ini bererti banglo berkeluasan 10,161 kaki persegi yang dibeli Ketua Menteri, Pulau Pinang Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn di sini mempunyai harga pasaran jauh lebih tinggi daripada RM2.8 juta yang dibayarnya.

Jika dibahagikan mengikut kaki persegi, banglo itu dijual dengan harga RM276 sekaki persegi.

Sedangkan harga semasa yang ditawarkan melalui laman web mudah.my untuk banglo berkembar setingkat atau rumah berkembar dua tingkat di kawasan itu ialah antara RM400 hingga lebih RM900 sekaki persegi bergantung kepada keadaan rumah yang ingin dijual itu.

Berdasarkan harga RM400 bagi satu kaki persegi yang ditawarkan melalui iklan di laman web itu, sebuah rumah banglo dengan keluasan lebih 10,000 kaki persegi akan bernilai lebih RM4 juta. 

Seorang rakan kongsi kanan syarikat penilaian berdaftar Raine & Horne, Michael Geh, berkata mengikut data transaksi jualan hartanah dari Jabatan Pernilaian Perkhidmatan Harta, hartanah di kawasan itu dijual pada harga RM2.8 juta hingga RM3.6 juta pada 2014 dan 2015.

"Walaupun nilai hartanah di kawasan itu agak mahal berbanding tempat lain namun, ia diminati pembeli kerana kawasannya agak eksklusif, kejiranannya bersih dan jalan tidak sibuk," katanya.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan Fook Sing pula berkata, harga di kawasan Jalan Pinhorn ini boleh mencecah lebih RM300 sekaki persegi bergantung kepada pelbagai faktor.

Beliau berkata, kawasan perumahan itu berhampiran jalan utama yang menghubungkan Jambatan Pulau Pinang dan Persiaran Gurney.

Kajian mendapati beberapa ejen hartanah negeri ini telah mengiklankan beberapa unit rumah berkembar setingkat di dalam laman web www.mudah.com.my untuk dijual dengan harga lebih RM1.6 juta dengan keluasan lebih 3,000 kaki persegi.

Sebuah banglo berkembar setingkat di Jalan Pinhorn dengan keluasan 3,445 kaki persegi diiklankan di laman web itu dengan harga RM1.6 juta manakala rumah berkembar dua tingkat di Jalan Cheeseman dengan keluasan 6,257 kaki persegi pula ditawarkan pada harga RM2.2 juta.

Sebuah banglo dua tingkat dengan keluasan 4,219 kaki persegi di Halaman Free School pula mahu dijual pada harga RM3.15 juta ~ Sinar


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails