Thursday, March 3, 2016

Muhyiddin Pula Dakwa Panel SPRM Ada Cukup Bukti Untuk Dakwa Najib


Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan memberi cadangan supaya menghantar semula kertas siasatan berhubung wang derma RM2.6 bilion dan SRC International kepada peguam negara jika mereka tiada bukti kukuh untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengambil kira cadangan PPO itu, Muhyiddin berharap Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan mengambil tindakan dengan adil dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya.

"Saya ditunjukkan bukti aliran wang masuk ke dalam akaun peribadi Najib dan ini bukan lagi rahsia kerana ini sudah ditunjukkan peguam negara baru-baru ini," kata Muhyiddin sambil memegang laporan The Malaysian Insider mengenai kenyataan Apandi mengumumkan tiada kes untuk mendakwa Najib.

Muhyiddin juga sekali lagi mengulangi bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail sudah menunjukkan kepadanya mengenai bukti dan kertas pendakwaan terhadap Najib.

Katanya, terdapat bukti jelas membabitkan penglibatan Najib dalam skandal 1MDB dan SRC tetapi tidak boleh mendedahkannya.

"Kuasa mendakwa hanya ada pada peguam negara bukan saya, sama ada mahu ambil tindakan atau tidak itu terserah kepada beliau untuk buat pendakwaan.

"Kalau ada bukti, buat saja pendakwaan," katanya pada sidang media di Bukit Damansara di Kuala Lumpur hari ini.

Februari lalu, PPO dengan 8 ahli yang bermesyuarat buat kali terakhir menasihatkan badan anti rasuah itu menghantar semula kertas siasatan berhubung SRC International Sdn Bhd kepada Apandi, yang juga pendakwa raya, untuk semakan beliau.

Panel itu, yang memuji SPRM kerana profesionalisme, dedikasi dan integritinya juga mencadangkan kepada penyiasat meminta bantuan peguam negara mengeluarkan bantuan undang-undang bersama (MLA) bagi membolehkan SPRM mendapatkan bukti dan dokumen daripada institusi kewangan luar negara dalam siasatan mereka ke atas derma RM2.6 bilion itu.

Pada 26 Januari lalu, Apandi berkata tidak terdapat bukti mencukupi mendakwa Datuk Seri Najib Razak berhubung kes SRC International, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan.

Syarikat itu dilaporkan sebagai salah satu firma dari mana derma itu berasal sebelum disalurkan melalui syarikat lain dan dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Apandi berkata, tiada bukti Najib selaku menteri kewangan menyalahgunakan kuasanya berhubung pinjaman diambil SRC International daripada dana pencen, KWAP.

Beliau juga menjelaskan tiada keperluan meneruskan permintaan mendapatkan MLA daripada pihak berkuasa kewangan luar negara dan bank untuk SPRM menyelesaikan siasatan terhadap kes RM2.6 bilion kerana tiada bukti mencukupi.

SPRM sebelum ini merakamkan percakapan lebih 100 saksi, termasuk Najib berhubung isu derma tersebut.

Terdahulu, laman portal The Malaysian Insider juga disekat ekoran laporan mengatakan PPO tetap mengesyorkan kepada peguam negara supaya Najib didakwa berhubung kes 1MDB dan SRC.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi alasan sekatan tersebut atas sebab "keselamatan negara" tetapi tidak memperincikannya lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails