Wednesday, March 23, 2016

Mahathir Saman Najib RM2.6 Billion..


Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana didakwa telah menyalahgunakan kuasanya.

Selain Dr Mahathir, dua lagi individu yang lantang mengkritik Najib, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin turut dinamakan sebagai plaintif kedua dan ketiga dalam saman itu.

Dalam tuntutan saman itu, Dr Mahathir, Khairuddin dan Anina mendakwa Najib dengan sengaja mengganggu siasatan keatas 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitan, RM42 juta daripada SRC International dan derma politik RM2.6 bilion.

Ketiga-tiga plaintif mendakwa Najib menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO bagi melakukan salah laku berkenaan

Dalam tuntutan saman itu plaintif menyenaraikan kronologi tindakan Najib yang didakwa salah guna kuasa bermula Mac 2015 ketika siasatan dilakukan.

Antaranya, menamatkan lebih awal perkhidmatan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; dan mengugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri; selain itu turut menafikan haknya berucap pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.

“Kita boleh katakan kronologi tersebut telah membawa fakta dan kesimpulan yang menarik iaitu Najib berterusan campur tangan dalam proses undang-undang bagi memastikan segala pihak autoriti yang bertanggungjawab tidak dalam menjalankan tugasnya dalam isu derma RM2.6 bilion dan RM42 juta,” kata kenyataan itu.

Mereka juga menyatakan telah terkesan dengan setiap tindakan yang dilakukan oleh Najib.

“Dr Mahathir telah hadir pada Himpunan Bersih 4, yang mana beliau telah membuat kenyataan yang mengkritik Najib. Kemudiannya telah dipanggil oleh pihak polis untuk siasatan kerana didakwa melakukan jenayah fitnah.

“Dia sekali lagi menjadi perhatian pihak polis kerana posting yang dibuat terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali,” kata plaintif dalam tuntutan saman itu.

Khairuddin pula telah membuat laporan polis di Perancis, England, Switzerland, Hong Kong dan Singapura berkenaan tuduhan 1MDB dan akhirnya dia dan peguamnya, Matthias Chang didakwa kerana cubaan sabotaj sistem perbankan dan kewangan negara.

Manakala bagi Anina, dia telah disingkirkan dari UMNO kerana tindakannya yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Najib tahun lalu.

Dr Mahathir, Khairuddin dan Anina menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.

Peguam, Haniff Khatri Abdullah yang mewakili ketiga-tiga plaintif berkenaan telah memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.

“Writ saman itu akan diterima oleh peguam Najib (Hafarimzam Wan dan Aisha Mubarak) pada minggu ini,” ujarnya lagi.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails