Sunday, March 27, 2016

Mahathir Akui Majlis Raja-Raja Tiada Kuasa Singkir Najib.. Salah Siapa?


Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa Majlis Raja-Raja tiada kuasa dalam Perlembagaan negara untuk menyingkir mana-mana Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, Dr Mahathir berkata sekiranya Raja-Raja terdesak untuk berbuat demikian, mungkin Perdana Menteri boleh dilucutkan jawatan.

"Kuasa itu tiada dalam perlembagaan kerana kita tidak sangka benda seperti ini akan berlaku.

"Sebab itu kita buat Deklarasi Rakyat. Yang kita hendak di luar daripada Perlembagaan.

"Saya berharap Raja-Raja akan mendengar suara rakyat," kata Dr Mahathir semasa ucaptamanya di Kongres Rakyat 2016, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis yang bertujuan untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatannya, Dr Mahathir berkata beliau tidak lagi bercadang menghadap pihak Istana.

"Sultan-Sultan sangat berminat dalam perkara ini. Mereka sudah pun membuat kenyataan. Sangat luar biasa untuk mereka buat kenyataan.

"Saya ingat lagi satu ketika dahulu rakyat meminta Raja-Raja tidak menghadiri upacara melantik ketua gabenor pertama di Malaysia.

"Mereka mendengar suara rakyat dan ekoran itu, Malayan Union dihapuskan," katanya.

Tambah Dr Mahathir, sekiranya terdapat sebab-sebab tertentu, Raja-Raja mungkin akan mengambil tindakan ke atas Najib, tetapi beliau tidak tahu apakah jenis tindakan yang akan diambil.

Tahun lepas, Raja-Raja Melayu dalam satu kenyataan menggesa kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Majlis Raja-Raja Melayu juga mahu semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

Dr Mahathir sebelum itu hadir ke Kongres Rakyat 2016 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, petang tadi.

Turut hadir bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Seramai 19 pemimpin pelbagai latar belakang menyampaikan ucapan yang antara lain merumuskan tentang harapan dan masa depan rakyat negara ini ~ AstroAwani


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails