Thursday, March 10, 2016

Dua Pemimpin UMNO Permatang Pauh Dituduh Ambil Rasuah


Dua pemimpin Umno Permatang Pauh, termasuk pemimpin pemudanya didakwa di Mahkamah Seksyen Alor Setar, Kedah atas tiga pertuduhan berkaitan rasuah.

Bendahari Umno Permatang Pauh, Nor Azamuddin Ahmad dan naib ketua pemuda bahagian sama, Farid idris Khan didakwa melakukan kesalahan tersebut di Persiaran KTC 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim pada 2014.

Sinar Harian melaporkan, Nor Azamuddin didakwa melakukan kesalahan pertama pada Mei 2014 dengan mengambil suapan bernilai RM45,000 daripada seorang ahli perniagaan.

Suapan itu adalah sebagai dorongan untuk mendapatkan kuota beras standard tempatan dengan (15 peratus hancur) daripada sebuah syarikat pada Mei 2014 sebanyak 100 tan metrik untuk perniagaan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Nor Azamuddin didakwa menerima suapan masing-masing sebanyak RM45,000 daripada individu sama pada Jun dan Julai 2014.

Sementara itu, Farid dituduh bersubahat dengan Nor Azmuddin pada Mei 2014 dan mengulangi kesalahan itu pada Jun dan Julai di lokasi yang sama.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28 Akta yang sama dan boleh di hukum mengikut Seksyen 24 dalam akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan masing-masing boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut peruntukan hukuman yang lebih tinggi. 

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Zulhazmi Abdullah menetapkan kedua-dua mereka dikenakan ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan 3 Mei untuk sebutan semula kes lapor MalaysiaKini



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails