Monday, March 21, 2016

Adakah Khairy Cuai Laksanakan Tugas? Soal Perkasa


Langkah Kementerian Belia dan Sukan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) kementerian dalam meluluskan pemberian dana ekoran dakwaan penyelewengan bernilai ratusan juta ringgit oleh para pegawainya disokong Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa).

Bagaimanapun badan bukan kerajaan itu mempersoalkan keberkesanan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin sehingga penyelewengan besar berlaku dalam kementerian itu. 

"Persoalan yang bermain di minda rakyat adalah penyelewengan dana awam sehingga RM100 juta adalah terlalu besar untuk terlepas daripada pandangan serta kelulusan Menteri.

"Adakah ini bermakna Khairy terlalu cuai dalam melakukan tugas beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan sehingga tidak dapat mengesan kelompongan yang ada di dalam sistem kementeriannya yang menyebabkan skandal ini?

"Atau adakah ini juga bermakna Khairy tidak menumpukan sepenuh perhatian di dalam tugasnya sebagai Menteri untuk memperbaiki serta menambah baik perjalanan kementeriannya?" kata Setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti (BPI) Perkasa, Azrul Akmal Saharudin.

Azrul yang juga Ahli Dewan Tertinggi Perkasa berkata, pihaknya memandang serius keberkesanan Khairy Jamaludin sebagai Menteri bagi membendung amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam kementeriannya.

Sambil menyatakan sokongan Perkasa kepada SPRM untuk menyiasat kes penyelewengan ini sehingga ke akar umbi, beliau juga mahu siasatan dibuat bagi menentukan bila pegawai-pegawai terbabit berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan.

"Jika ianya berlaku selepas beliau menjawat jawatan Menteri, maka wajarlah Menteri juga disiasat untuk mengenal pasti dalang sebenar dan secara tidak langsung membersihkan nama beliau daripada terpalit dengan skandal ini," tegasnya.

Menurut beliau, memandangkan SOP meluluskan dana dan tender kerajaan di semua kementerian mempunyai persamaan, Perkasa mencadangkan SPRM melaksanakan operasi besar-besaran di semua kementerian.

Malah tambah beliau, Khairy sendiri mengakui skandal penyalahgunaan dana kerajaan yang berlaku di kementeriannya berpunca daripada kelemahan SOP sehingga menjurus kepada kes penyelewengan dana awam.

"Maka wajarlah jawantankuasa khas yang dicadangkan oleh YB Khairy Jamaludin untuk menyiasat dan memperbaiki SOP kementeriannya diperluaskan juga kepada kementerian-kementerian lain," ujarnya.

 Azrul juga mengingatkan para penjawat awam yang merasakan diri mereka kebal daripada tindakan undang-undang agar bekerja dengan jujur dan penuh integriti ~ Malaysia Dateline



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails