Monday, February 15, 2016

Zahid!! Ijazah Kami Bukan Untuk Cuci Tandas..


Belia negara kesal dengan cabaran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap belia tempatan untuk bekerja dalam sektor 3D (dirty, dangerous and difficult) iaitu kotor, sukar dan merbahaya.

Penyesalan itu disampaikan memandangkan cabaran itu amat bertentangan dengan sahutan kerajaan untuk menjana generasi muda yang berpelajaran dan professional.

“Kami tidak membayar beribu-ribu dan belajar selama empat tahun untuk bekerja di dalam sektor 3D,” kata beberapa graduan universiti yang ditemui.

“Jika saya mahu bekerja dalam sektor 3D, saya akan melakukannya sejurus selepas tamat sekolah menengah. Saya tidak perlu belajar selama empat tahun, berpisah dengan keluarga, semuanya untuk membersihkan tandas, “kata Wong Han Shun, pemegang ijazah kejuruteraan mekanikal dari Universiti Nottingham Malaysia.

Seorang lagi graduan ijazah dalam Pengajian Antarabangsa dari University of Adelaide, Tan Kin Wai beranggapan komen Zahid itu tidak adil kepada golongan belia yang bercita-cita tinggi dan mahu berjaya.

“Saya kurang jelas dengan pendirian kerajaan apabila mereka mahu generasi muda berpendidikan tinggi tetapi pada masa yang sama mencabar kami jadi pembersih dan pekerja pembinaan. 

“Kanak-kanak bercita-cita untuk menjadi peguam, doktor, ada yang mahu untuk menyelamatkan dunia sebaliknya kita pula mempunyai TPM yang mencabar untuk melakukan pekerjaan kotor sebagai penyelesaian mengurangkan kemasukan warga asing di negara ini,” ujar Tan.

Dalam pada itu, graduan dari Australia, Ryan Ng mengeluh kerana dia sendiri sudah melalui fasa getir bekerja keras dan dia kini masanya untuk dia menikmati hidup yang lebih baik.

“Saya pernah bekerja sambil belajar ketika di universiti dahulu. Saya belajar dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan bekerja bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam setiap hari selama 4 tahun.

“Saya bukan tidak bersyukur dan tidak bermaksud menyalahkan warga asing yang bekerja keras, cuma saya berpendapat bahawa saya berhak untuk kehidupan yang lebih baik daripada mencuci tandas atau pinggan mangkuk,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin berkata, keperlu­an mengambil pekerja Bangladesh adalah terhad kepada sektor pembinaan, perladangan dan perkhidmatan yang tidak menerima permintaan daripada belia tempatan.

“Orang muda tidak sanggup be­kerja dalam industri yang bahaya dan kotor. Sekiranya mereka sanggup bekerja sebagai buruh kasar, sudah pastinya kerajaan akan mengurangkan pe­ngambilan pekerja buruh luar,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis penutup Sidang Kemuncak Aspirasi dan Kepemimpinan Kebangsaan (NALS) 2016 lapor  Free Malaysia Today


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails