Monday, February 22, 2016

Selepas Yusmadi, AMK Pula Belasah Guan Eng


Pemuda PKR hari ini membidas tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menggugurkan 2 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR daripada agensi dan anak syarikat kerajaan negeri Pulau Pinang, menyifatkannya tidak matang.

Ketua penerangannya, Haidhar Auni Dzolkapli berkata, Lim sepatutnya menghormati perjanjian bersama ditandatangani gabungan pembangkang, Pakatan Harapan, yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Tindakan Lim ini mencerminkan satu sifat yang tidak matang dalam pemerintahan beliau. Beliau sepatutnya menghormati perjanjian bersama Pakatan yang ditandatangani ketiga-tiga parti," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menyifatkan pengguguran 2 Adun tersebut - Adun Kebun Bunga Cheah Kah Peng dan Adun Bukit Tengah Ong Chin Wen - sebagai bukti Lim seorang yang berat sebelah.

"Tindakan pengguguran ini melambangkan pimpinan Lim sebenarnya berat sebelah dan bersifat autokrat," katanya. Lim semalam dilaporkan memecat 2 Adun PKR yang memegang jawatan pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) berikutan kegagalan mereka menyokong pentadbiran kerajaan negeri dalam isu tebus guna tanah di Pulau Pinang.

Pemuda PKR juga mempertahankan kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengecam keputusan dibuat pimpinan kerajaan DAP tersebut.

"Pemuda PKR setuju dengan kenyataan Azmin yang menyelar Lim, yang kerajaan Pakatan seharusnya meraikan perbezaan pendapat," kata Haidhar.

Beliau juga menggesa supaya pimpinan pusat campur tangan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negeri tersebut.

"Harus kita ingat, musuh utama kita adalah Umno dan Barisan Nasional dan elakkan kita serang sesama kita.

"Sebaiknya kita fokus tentang permasalahaan rakyat daripada kita bermain politik semata mata," katanya.

Azmin sebelum ini berkata, PKR tidak gembira dengan penyingkiran 2 wakilnya di Pulau Pinang daripada Penang Hill Corporation dan Invest Penang and Island Golf Properties Bhd, anak syarikat kepada syarikat pelaburan kerajaan negeri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Azmin berkata, PKR menghantar surat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung perkara itu.

Dua Adun berkenaan ialah antara 5 yang dilarang mengundi terhadap usul dibawa BN berhubung pengambilan tanah ketika persidangan DUN November lalu.

Bagaimanapun, PAS tidak hairan dengan tindakan Lim itu memandangkan nasib sama pernah menimpa bekas ahli PAS Iszuree Ibrahim yang dipecat daripada jawatan dalam majlis perbandaran pada 2014 selepas mengkritik Lim, kata Pengerusi Lajnah Asas Tani Dan Alam Sekitar PAS Muhammad Sanusi Md Nor lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails