Monday, February 1, 2016

Mukhriz Masih Kekal Sebagai MB Kedah Lagi..


Semua 20 ADUN BN tidak mahu mengulas hasil perjumpaan bersama mereka dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar sejak jam 2.30 petang tadi.

Lebih 50 pengamal media yang menunggu di pintu masuk utama cuba untuk meminta wakil rakyat mengulas apabila mereka meninggalkan bangunan itu pada kira-kira 5.30 petang tetapi tiada seorang pun yang mahu mengulas.

ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanapiah sekadar berkata "tiada keputusan lagi", sebelum meninggalkan bangunan itu.

ADUN Guar Chempedak Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang dispekulasi antara yang bakal menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon menteri besar juga enggan mengulas. 

Mukhriz meninggalkan bangunan Wisma Darul Aman pada jam 5.30 petang selepas berjumpa dengan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, tanpa bercakap kepada wartawan.

Krisis politik tercetus berikutan wakil rakyat dan pimpinan kanan Umno negeri, yang diketuai Bashah yang juga adalah timbalan pengerusi perhubungan Kedah menyuarakan secara terbuka mengenai hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz.

Dilaporkan seramai 19 daripada 21 ADUN BN, iaitu 17 daripada Umno dan dua dari MCA, menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan mereka terhadap Mukhriz.

Hanya ADUN Jitra Datuk Aminuddin Omar yang dikatakan tidak berbuat demikian.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadap Tunku Sallehuddin, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan pertukaran menteri besar.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu ialah Tunku Abdul Hamid yang juga Tunku Laksamana Kedah dan Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Tunku Panglima Besar Kedah.

Najib pada sidang media pada hari sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dilaporkan berkata beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung kemelut berkenaan lapor Malaysiakini


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails