Tuesday, February 23, 2016

"Jujur.. Jangan Belit" Nasihat PKR Buat Guan Eng


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dituntut berlaku jujur dalam semua perkara yang melibatkan pentadbiran Pakatan Harapan.

Malah, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafie juga mahu Lim berhenti daripada memutarbelitkan keadaan sekali gus mengalih isu sebenar.

“Apa yang disebutkan oleh (Menteri Besar Selangor) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah mewakili parti. Lim janganlah tak faham dan sengaja membelitkan keadaan serta mengalih isu sebenar.

“Lim selalu sangat memberikan persepsi terbalik atas sesuatu isu dan untuk kali ini beliau dituntut berlaku jujur atas semangat Pakatan Harapan,” kata ADUN Seri Muda itu.

Beliau merujuk rasa tidak senang Lim - yang juga adalah Setiausaha Agung DAP - lalu membidas Azmin kerana "campur tangan" dalam pentadbirannya ekoran pengguguran dua ADUN daripada PKR di Pulau Pinang.

Menurut Lim, beliau menggugurkan ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng kerana tidak lagi boleh mempercayai mereka.

November lalu, Ong dan Cheah adalah antara lima wakil rakyat PKR Pulau Pinang mengambil sikap berkecuali pada sesi undian terhadap rancangan kerajaan negeri melaksanakan projek tebus guna tanah pinggir laut di negeri berkenaan.

Lim menuduh mereka "menikam belakang" selepas berjanji tidak akan menentang usul yang dibentangkan itu.

Kedua-dua mereka diketepikan daripada jawatan pengarah dua syarikat berkaitan kerajaan. Ong ditamatkan perkhidmatannya di Penang Invest and Island Golf Properties Bhd, manakala Cheah digugurkan daripada Perbadanan Bukit Bendera.

Mengulas lanjut, Shuhaimi menegaskan tindakan Azmin dibuat mengikut keputusan parti dan bukan atas kapasitinya sebagai Menteri Besar Selangor.

Azmin menyebut (pendirian dibuat adalah) keputusan parti, bukan keputusan beliau selaku menteri besar. Tiada kena mengena dengan kedudukan selaku Menteri Besar Selangor dan kenyataan beliau adalah atas kapasiti Timbalan Presiden PKR yang menyuarakan secara terus terang pendirian parti,” kata Shuhaimi.

Pada masa sama, menurutnya perbezaan pandangan dalam Pakatan Harapan wajar dilihat sebagai kematangan berpolitik dan bukan kelemahan gabungan secara keseluruhan.

"Setiap parti (perlu) berlapang dada dan berusaha mengurangkan perbezaan pandangan supaya Pakatan Harapan kekal mantap disokong rakyat,” tambah Shuhaimi lapor MalaysiaKini


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails