Friday, February 19, 2016

Ganja Hilangkan Tekanan?.. Jangan Berangan Jadi Robin Hood - Nooh Gadut


Penggunaan ganja sebagai penyelesai masalah tekanan kos sara hidup dilihat jalan singkat semata-mata untuk memenuhi matlamat yang menghalalkan cara.

Pengerusi Majlis Agama Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut berkata, paling penting rakyat perlu sentiasa berkiblatkan Al-Quran dan Al-Sunnah jika mencari ketenangan selepas dibelenggu masalah tekanan hidup.

"Kita perlu balik kepada ajaran agama. Kita bukan di negara Eropah atau berfikiran liberal. Bukan kita tidak ada jalan lain lagi.

"Ganja bukan penawar kepada masalah tekanan akibat kos sara hidup. Saya akui ia ubat yang boleh digunakan pakar untuk mengubati penyakit. Jangan jadikan alasan menggunakan ganja itu untuk menghalalkan cara.

"Dalam Islam sendiri sudah ada banyak cara, bukan gunakan ganja untuk hilangkan stress. Konsepnya seperti pergi mencuri duit untuk buat masjid atau merompak seperti 'Robin Hood' untuk bantu orang lain. Ini salah," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Nooh mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail yang mahu kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk rakyat menggunakan ganja sekali gus meminda sebarang larangan undang-undang melibatkannya atau marijuana yang pernah dibuat sebelum ini.

Katanya, ganja jelas tidak menjadikan individu itu agresif atau hilang pertimbangan seperti yang berlaku kepada mereka yang mengambil alkohol berlebihan.

Dalam pada itu tegas Nooh yang juga bekas Mufti Johor, rakyat perlu melihat kepada diri sendiri untuk mengenal pasti punca tekanan yang dihadapi.

"Seperti di negara kita, banyak peluang yang ada namun tidak diambil kesempatan oleh rakyat sendiri. Sebaliknya ia menjadi lubuk kekayaan yang dilihat oleh pekerja luar.

"Pada saat hasil negara kita dituai pekerja asing, apakah kita mahu melihat rakyat sendiri hanya menghisap ganja semata-mata kononnya mengalami tekanan kos sara hidup?" jelasnya.

Tambahnya, sikap rakyat yang selama ini terlalu selesa menjadikan mereka selalu menyalahkan takdir dan sehingga terfikir untuk mengambil jalan singkat dengan menghisap ganja jika mengalami tekanan.

"Fikirkan kesan sampingan penggunaan ganja. Setiapa ubat ini ada kesannya tersendiri. Seharusnya dia menjaga agama, jaga diri dan bukan merosakkan keturunan seterusnya," katanya.

Pada tahun lepas, Nooh memberitahu, perbuatan menangkap gambar sendiri dengan menggunakan telefon pintar atau 'selfie' selepas menunaikan solat atau 'tarawih' di masjid dan menyiarkannya di media sosial dengan niat riak dan mahu menunjuk-nunjuk disifatkan boleh menghapuskan pahala ibadah.

Tegasnya, penerangan itu sudah jelas di dalam doa iftitah yang dibaca setiap kali solat dan menyebut fokus ibadah adalah keutamaan dalam keikhlasan seseorang individu lapor Astro Awani


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails