Thursday, February 18, 2016

Chegubard Melampau, MPN Selangor Mahu PKR Pusat Hukum Dia..


Majlis Pimpinan Pusat PKR digesa mengambil tindakan disiplin terhadap salah seorang bekas pemimpin mereka, Badrul Hisham Shaharin yang kini dilihat lantang mengkritik parti berkenaan. 

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Borhan Aman Shah berkata PKR negeri benar-benar kesal dengan tindakan Badrul Hisham berhubung kritikan isu pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Selasa lalu.

"MPN Selangor amat kesal dengan tindakan beliau cuba menimbulkan kekeliruan dalam perkara tersebut.

"Tindak tanduk beliau sejak kebelakangan ini menunjukan dia melakukan serangan peribadi terhadap menteri besar.

"MPN Selangor mahu dan menyerahkan MPN Pusat untuk ambil tindakan disiplin terhadap Badrul Hisham serta mana-mana anggota yang berniat memecah-belahkan parti," kata Borhan dalam sidang medianya di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Badrul Hisham atau lebih dikenali dengan panggilan Chegubard pada Selasa mendakwa ramai calon tidak dilantik sebagai ahli majlis PBT disebabkan ''sikap dendam" Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

Kata Badrul Hisham Azmin membelakangkan cadangan daripada cabang tertentu di Selangor dan garis panduan oleh Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dikeluarkan pada 2013.

Selain itu Azmin juga didakwa tidak menghormati PKR dan cabang parti walaupun perlembagaan parti menyatakan cabang mempunyai hak bersuara untuk memilih calon termasuk calon pilihan raya.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Zainol Abidin Mohamed pula berkata pihaknya mahu pimpinan pusat PKR segera membuka semula kertas siasatan bagi menggugurkan keahlian Badrul Hisham seperti dibuat tahun lalu.

"Minta MPN Pusat buka kembali fail yang diadukan AMK pada tahun lepas dan meminta Badrul Hisham digugurkan keahlianya kerana kita tak mahu 'kudis' ini menjadi barah kepada parti yang kita sanjung ini," kata Zainol dalam sidang media yang sama.

Pemilihan ahli majlis PBT Selangor sebelum ini dilaporkan tertangguh ekoran kerajaan Selangor masih belum memutuskan sama ada akan memperuntukkan kerusi majlis tempatan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH).

Selangor mempunyai 288 ahli majlis dengan 120 kerusi diperuntukkan kepada PKR manakala DAP dan PAS masing-masing mendapat 98 dan 70 kerusi lapor MalaysiaKini


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails