Wednesday, February 17, 2016

Bekas PM Israel jalani Hukuman Penjara Kerana Rasuah


Ehud Olmert menjadi bekas Perdana Menteri Israel pertama yang menjalani hukuman penjara apabila dia dipenjarakan selama 19 bulan semalam kerana kesalahan rasuah dan menghalang proses undang-undang.

Olmert, 70, memasuki Penjara Maasiyahu di bandar Ramle, tengah Israel menjelang pukul 10 pagi (waktu tempatan).

Dia diiringi ke penjara itu oleh beberapa ejen agensi keselamatan domestik, Shin Bet sambil disaksikan oleh sekumpulan pemberita.

Hukuman penjara terhadap Olmert itu sekali gus menutup perbicaraan yang panjang sejak beliau meletak jawatan pada 2009.

Tuduhan terhadap Olmert melibatkan kes rasuah semasa dia berkhidmat sebagai Datuk Bandar Baitulmuqaddis dan Menteri Ekonomi di samping beberapa jawatan lain sebelum menjadi Perdana Menteri Israel.

Dalam satu mesej video yang disiarkan pagi semalam sebelum dia menjalani hukuman penjara, Olmert bertegas bahawa dirinya tidak bersalah.

“Anda boleh bayangkan betapa pedih dan aneh perubahan ini (hukuman penjara) terhadap saya, keluarga saya, orang-orang yang saya sayangi dan penyokong saya.

“Saya sama sekali menafikan semua tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan saya.” kata Olmert yang kelihatan lesu dan sungul.

“Sepanjang kerjaya saya yang panjang, saya juga melakukan kesilapan tetapi bukan kesalahan jenayah.

“Dengan rasa berat hati, saya menerima hukuman ke atas saya hari ini (semalam). Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang,” tambah bekas Perdana Menteri itu.

Olmert pada awalnya dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada Mei 2014 kerana menerima rasuah sekitar tahun 2000 berkaitan satu projek hartanah di kota Baitulmuqaddis.

Bagaimanapun, hukuman itu kemudiannya dikurangkan kepada 18 bulan.

Pada minggu lalu, sebuah mahkamah Israel menjatuhkan tambahan hukuman penjara sebulan terhadap Olmert kerana menghalang proses undang-undang ~ Kosmo


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails