Tuesday, February 2, 2016

Bekas Menteri Fail Semakan Kehakiman Keputusan Peguam Negara Untuk Tidak Mendakwa Najib


Pada Selasa, 2 Februari 2016 saya telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk relief, melalui semakan kehakiman, ke atas perkara-perkara berikut:

1. Keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak di bawah peruntukan Kanun Keseksaan yang sepatutnya dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009); dan  
2. Keputusan Peguam Negara mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup fail penyiasatan mereka ke atas kesalahan-kesalahan yang mungkin telah dilakukan oleh Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak. 

Alasan substantif bagi permohonan saya adalah: Keputusan yang telah dibuat oleh Peguam Negara adalah tidak munasabah dan merupakan pelaksanaan budi bicara yang tidak berpatutan. Peruntukan yang diberikan oleh Artikel 145(3) dalam Perlembagaan Persekutuan meletakkan tanggungjawab ke atas Peguam Negara untuk melaksanakan budi bicaranya dengan pertimbangan yang sewajarnya, dengan munasabah demi kepentingan rakyat dan dengan pertimbangan keadilan.

Saya juga berpuas hati — berdasarkan laporan dan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh SPRM and agensi-agensi lain yang menyiasat keadaan kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International — bahawa terdapat keterangan dan bukti yang kuat tentang kemungkinan adanya salahlaku dari pihak Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, yang berkemungkinan juga melibatkan Pecah Amanah Jenayah dan lain-lain kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Berdasarkan keadaan ini, saya memohon pelepasan dari pihak Mahkamah untuk mendengar permohonan saya untuk menyemak semula kedua-dua keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dan arahan kepada SPRM untuk menutup fail penyiasatan mereka.

Sekiranya Mahkamah bersetuju untuk memberikan relief yang saya mohon, maka saya meminta Mahkamah untuk melakukan 3 perkara:

1. Mengeluarkan Perintah yang bersifat Certiorari untuk mengenepikan keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Dato’ Sri Najib Razak dan arahan yang diberikan kepada SPRM untuk menutup penyiasatan mereka.  
2. Membuat Perintah selanjutnya yang bersifat Mandamus untuk mengarahkan Peguam Negara menggunakan budi bicaranya di bawah Artikel 145(3) untuk mempertimbangkan dengan sewajarnya untuk memulakan prosiding jenayah terhadap Dato’ Sri Najib Razak.  
3. Mengisytiharkan bahawa keputusan Peguam Negara mengarah SPRM untuk menutup penyiasatan mereka adalah ultra vires kepada bidang kuasanya di bawah Artikel 145(3) dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Saya terpaksa memulakan prosiding ini kerana saya terus-terang merasai khuatir tentang akibat teruk yang mungkin melanda kedaulatan undang-undang di negara ini sekiranya keputusan yang dilakukan oleh seorang individu tidak boleh dipertikaikan, tidak mengira fakta dan keadaan bagi sesuatu kes.



Sepanjang yang telah dinasihatkan kepada saya, konsep “budi bicara mutlak” tidak wujud di dalam undang-undang. Tanggapan budi bicara yang tidak terbatas ini adalah pada asasnya bertentangan dengan kedaulatan undang-undang, dan berdasarkan sebab inilah saya terpaksa bertindak.


Zaid Ibrahim
Kuala Lumpur
2 Feb 2016

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails