Saturday, January 23, 2016

Tukar MB, BN Kalah - UMNO Jerlun


Pertukaran jawatan menteri besar Kedah tanpa alasan munasabah boleh menyebabkan Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dakwa Umno Bahagian Jerlun.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Abu Hasan Sarif berkata, sejarah negeri Kedah membuktikan parti itu akan tewas dalam pilihan raya jika berlaku pertukaran menteri besar di pertengahan jalan.

"Hujan tidak ada, angin tak ada, tiba-tiba kita diledakkan dengan satu bom yang membangkit kesedaran dan semangat semua masyarakat bukan sahaja di Jerlun, tapi di seluruh Kedah untuk bangun memberi sokongan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata, sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kedah, ini merupakan kali kedua berdepan dengan situasi pertukaran menteri besar.

"Lima penggal saya diberi kepercayaan kepimpinan untuk dipilih dan menjadi wakil rakyat Kota Siputeh.

"Lebih 20 tahun dan banyak menteri besar dan ini merupakan kali kedua saya menghadapi ujian sama dalam soal menolak kepimpinan menteri besar Kedah," katanya.

Katanya,i masalah pertukaran menteri besar berlaku sejak tahun 1995 ketika Tan Sri Osman Aroff menjawat kedudukan itu.

"Apabila ada pertukaran dibuat, perhimpunan seperti ini dilakukan untuk mempertahankan jawatan menteri besar.

"Akhirnya kerana rakyat menyayangi kepimpinan Osman ketika itu, walaupun berpindah tangan dan akhirnya kita dapati pada 1999 itulah bermula kejatuhan Kedah dalam pilihan raya," katanya.

Sementara itu Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Jerlun Rohani Mat Aris menggesa pucuk pimpinan parti menangguhkan pertukaran menteri besar Kedah sehingga PRU14.

"Bagilah peluang kepada Datuk Seri Muhkriz Mahathir untuk menjalankan tanggungjawab sebagai menteri besar Kedah sebab ini juga sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional pada PRU13 lalu, jika Kedah berjaya merampas semula negeri ini.

"Bila jadi macam ini mereka akan patah hati. Tahulah kemungkinan akan jadi. Siapa nak tanggung risiko kalau ini semua terjadi," soalnya ~ The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails