Sunday, January 24, 2016

Tiga Lagi Calon Baharu MB Kedah?


Kemelut politik Kedah berikutan desakan pemimpin UMNO negeri itu yang mahu Datuk Seri Mukhriz Mahathir digantikan sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah memasuki fasa baharu berkaitan siapa calon yang layak menggantikan beliau.

Walaupun sebelum ini pelbagai pihak melihat Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sebagai paling layak menggantikan Mukhriz, namun terdapat ‘perkembangan terkini’ yang memungkinkan pucuk pimpinan perlu menyenaraikan beberapa lagi calon bagi tujuan tersebut.

Sumber memberitahu, tiga nama disebut-sebut sebagai calon yang layak disenaraikan seandainya Ahmad Bashah berhadapan dengan ‘halangan’.

“Tiga nama itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak yang juga Exco Jawatankuasa Industi dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail, 63, ADUN Ayer Hangat yang juga Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid dan ADUN Tanjong Dawai yang juga Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan Kerajaan Tempatan, Datuk Tajul Urus Mat Zain, 64.

“Ketiga-tiga mereka dikatakan layak dipertimbang berdasarkan pengalaman dan latar belakang pendidikan. Selain itu, ini juga di­lihat bagi meredakan kemarahan rakyat Kedah berikutan apa yang berlaku,” kata sumber itu.

Mengenai kemampuan calon-calon tersebut, sumber itu berkata, Ku Rahman mempunyai ijazah kedoktoran dari sebuah universiti di luar negara dikatakan layak memandangkan pengalamannya sebagai ‘orang lama’ dalam politik di Kedah.

“Beliau banyak mengetuai rombongan bagi menarik pelabur asing ke Kedah dan seorang pemimpin yang dilihat tidak banyak kontroversi,” kata sumber tersebut.

Mengenai Tajul Urus, sumber itu menjelaskan, beliau dipertimbangkan kerana dilihat mampu meredakan kemarahan penyo­kong Mukhriz memandangkan Tajul Urus yang berkelulusan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dianggap ‘orang Mukhriz’.

“Selain itu beliau juga dilihat mampu meneruskan agenda Mukhriz untuk memajukan bidang pendidikan di Kedah,” katanya.

Mohd. Rawi yang merupakan anak jati Langkawi pula, kata sumber itu dianggap pemimpin paling dekat dengan rakyat Kedah khususnya dalam kalangan ulama dan pelajar institusi pondok.

“Beliau yang berkelulusan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia antara yang paling lantang mengetengahkan isu-isu agama di Kedah dan dilihat mampu menarik perhatian rakyat berikutan latar belakang agama beliau,” katanya.

Bagaimanapun sumber itu berkata, ketiga-tiga nama itu masih di peringkat pertimbangan dan segalanya terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan.

“Apa yang pasti, pemimpin UMNO di semua peringkat mahu isu tersebut diselesaikan segera dan kemelut berlaku ditamatkan tanpa menjejaskan UMNO negeri itu,” kata sumber itu lagi ~ Utusan


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails