Monday, January 18, 2016

Setelah 9 Bulan GST Dilaksanakan Harga Barang Tak Turun, Ahmad Maslan Kata Jangan Marah Dia..


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan mempertahankan dakwaannya harga barangan akan turun apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan sejak April lalu.

Kata Ahmad, ketika masih berkhidmat sebagai timbalan menteri kewangan, dia menggunakan kalimah "boleh" berbanding "mesti" turun.

Bercakap di sesi penerangan mengenai Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) di Kuala Lumpur semalam, Ahmad berkata, kenyataan dikeluarkannya dulu sekadar menjelaskan bagaimana harga sesetengah barang akan turut di bawah GST.

Ia, katanya, berlaku kerana perbezaan antara GST dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan ketika itu.

Sebagai contoh, kata Ahmad, buah-buahan dikenakan cukai sebanyak lima peratus mengikut SST tetapi dikecualikan melalui GST.

Begitu juga dengan barangan kegunaan harian - daripada pakaian, perabot hingga bahan binaan - yang dikenakan cukai 10 peratus melalui SST, tetapi hanya enam peratus di bawah GST.

Pada 1 April 2015, katanya, harga kereta turun disebabkan faktor itu.

"Hah, itulah maksud saya. Tetapi pakaian tak turun; kerusi, meja tak turun; perabot tak turun; sofa tak turun; barangan elektrik tak turun.

"Janganlah marah Ahmad Maslan. Marahlah peniaga-peniaga yang tidak menurunkan harga itu.

"Jangan marah Ahmad Maslan. Ahmad Maslan yang kena bantai itu tak salah. Dia menyatakan perkara yang betul dari segi teori GST," katanya.

Tahun lalu Ahmad menjelaskan harga sesetengah barangan akan turun jika GST dilaksanakan di negara ini.

Pelaksanaan cukai itu mendapat kritikan pelbagai pihak - termasuk di kalangan ahli Umno dan BN - namun kerajaan tetap melaksanakannya mulai 1 April 2015.

Dalam majlis hari ini seorang peserta membangkitkan isu berkenaan dan menyatakan penuruhan harga - seperti didakwa Ahmad - tidak berlaku sembilan bulan selepas GST dilaksanakan ~ Malaysiakini


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails