Saturday, January 23, 2016

RM100,000 Harta Pemimpin UMNO Yang Dilelong Dipulang Kembali..


Perkakasan rumah Datuk Hamidah Osman yang habis dilelong RM100,000 dalam cuma lima minit semalam dikembalikan semula selepas pembida tidak berhasrat menjadikannya milik peribadi.

Fatimah Mohd Isa, 52, berkata barangan itu dikembalikan semula kepada Hamidah kerana menyifatkan bekas ketua wanita Umno Gopeng itu sebagai “pejuang sejati.”

“Saya juga membuat keputusan mengembalikan semua barangan dibida itu kepada beliau yang bermakna tiada satu pun barangan dilelong itu akan dibawa keluar dari rumah ini,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Sebanyak 62 unit kelengkapan rumah dan tiga set bilik tidur bernilai RM200,000 itu dibida Fatimah dengan harga RM100,000, lapor portal Sinar Harian.

Barangan bekas wakil rakyat Sungai Rapat itu dilelong selepas disita Mahkamah Tinggi menyita pada 23 Disember tahun lalu.

Bekas exco Perak itu gagal melunaskan bayaran ganti rugi RM200,000 dalam satu kes saman malu kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Pada 27 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Hamidah membayar jumlah berkenaan kepada bekas pemimpin PAS itu atas penerbitan artikel yang bertajuk “Umat Islam Perlu Bersatu.”

Hamidah yang menulis artikel itu di blognya pada Januari 2010 memuatkan gambar yang diubahsuai seperti Khalid berpakaian seorang paderi.

Lelongan semalam yang bermula 11 pagi di rumah Hamidah di Kampung Tersusun Batu Gajah di sini dimulakan dengan harga bidaan RM200,000 tetapi tiada sambutan.

Pelelong berlesen Hasniza Abu Samah kemudian menurunkan harga kepada RM150,000 tetapi masih tiada sambutan setelah diumumkan tiga kali.

Apabila harga diturunkan kepada RM100,000, Fatimah membuat bidaan tanpa dilawan harga oleh sesiapa, lapor Berita Harian.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails