Wednesday, January 6, 2016

Putrajaya Arah Lombong Bauksit Kuantan Dihenti 3 Bulan


Kabinet hari ini bersetuju mengenakan moratorium ke atas aktiviti perlombongan di Kuantan Pahang selama 3 bulan bermula 15 Januari, kata Menteri Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar.
Langkah itu selaras dengan keputusan Putrajaya tidak menghentikan industri itu, namun hanya bertindak mengawal kegiatan tersebut supaya tidak menjejaskan alam sekitar secara keterlaluan. 

"Pelaksanaan morotarium ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri Pahang selama 3 bulan bermula 15 Januari, 2016," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Kuala Lumpur, hari ini.

Wan Junaidi berkata, moratorium itu bagi mengawal pencemaran alam sekitar akibat aktiviti perlombongan bauksit di kawasan itu.

Sekiranya industri masih gagal mengawal masalah pencemaran selepas tempoh 3 bulan, maka moratorium tersebut akan dilanjutkan, katanya.

Wan Junaidi berkata dalam tempoh 3 bulan itu, bulan pertama akan diperuntukkan bagi kerja-kerja pembersihan simpanan bauksit di pelabuhan berdekatan Kuantan.

"Ini penyebab utama berlakunya pencemaran, kerana ia berdekatan dengan laut," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, pemberhentian aktiviti perlombongan itu tidak bermakna eksport bauksit akan turut terjejas.

"Eksport bauksit masih diteruskan untuk menghabiskan simpanan," katanya sambil mengakui beliau tidak pasti berapa banyak simpanan bauksit yang belum dihantar ke luar negara.

Beliau berkata, dalam tempoh sebulan kedua, kerajaan negeri dan kementerian akan bertindak dan membersihkan 11 lokasi simpanan bauksit yang berada di luar pelabuhan.

Pada bulan ketiga pelaksanaan moratorium itu, tindakan penguatkuasaan dan undang-undang akan dilaksanakan.

"Ini termasuk mewajibkan pelombong mematuhi peraturan untuk mengawal alam sekitar," katanya. 

Wan Junaidi berkata, keputusan kerajaan untuk mengenakan moratorium atau pemberhentian sementara aktiviti itu adalah untuk memberi tempoh kepada pengusaha.

Pada masa sama, Adnan juga menambah, kerajaan tidak mahu terlalu bersikap tegas kepada pengusaha dengan meminta mereka membersihkan lombong simpanan bauksit mereka serta-merta.

"Kita tidak mahu terlalu menekan. Sebab itu saya minta menteri laksanakan 15 Januari. Kita kena bagi mereka masa, bukannya boleh buat esok.

"Ini bukan (negara) diktator, kita ada peraturan, ada perdana menteri," katanya.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, aspek penguatkuasaan dan kawalan lambakan bauksit akan dikawal menerusi pemberian permit kelulusan (AP).

Katanya, sebelum ini kebenaran mengeluarkan AP terletak pada pihak kastam, tetapi kini ia dipindahkan kepada kementeriannya. 

"Saya menteri bertanggungjawab, jadi kita akan kawal. Mana-mana pengusaha tidak mematuhi peraturan, kita akan tarik AP mereka," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 22 pengusaha bauksit yang berdaftar dikenal pasti oleh kementeriannya lapor The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails