Thursday, January 14, 2016

Patutlah Nak Sangat Bawa Masuk 1.5 Juta Lagi Pekerja Asing..


Keuntungan, berbanding permintaan pasaran, kemungkinan menjadi punca rancangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh, kata kumpulan perdagangan memandangkan perniagaan tempatan menghadapi tahun yang sukar dan lebih ramai rakyat Malaysia hilang pekerjaan.

Dua kumpulan majikan terbesar negara dan pekerja sektor swasta jarang mencapai persetujuan apabila kedua-duanya berterusan mencabar tuntutan kerajaan yang industri ini memerlukan 1.5 juta pekerja asing tambahan.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) biasanya tidak bersetuju dalam semua perkara berkaitan isu buruh.



Tetapi dalam temu bual berasingan, kedua-dua mereka berkata pembekal industri buruh asing bernilai bilion ringgit boleh mempengaruhi kononnya “permintaan” terhadap 1.5 juta pekerja baharu ini.

Ini kerana setiap pekerja asing biasanya memberi pembekal antara RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap orang dalam bentuk keuntungan bersih, kata mereka.

Satu lagi yang memberi keuntungan ialah perkhidmatan dalam talian untuk memproses permohonan.

Pengkritik lain bagi rancangan itu seperti Ahli Parlimen Klang Charles Santiago juga membangkitkan kehadiran bekas pegawai kementerian dalam perniagaan sebagai satu tanda industri ini mempunyai pengaruh tidak wajar dalam pelan dan dasar buruh asing secara amnya.

Dan kemudiannya, terdapat sebilangan besar pekerja-pekerja asing tanpa dokumen, yang didakwa kumpulan itu berkemungkinan berjumlah 2.3 juta atau 1 juta bagi setiap pekerja asing sah.

"Jadi persoalannya ialah mengapa tidak menjadikan mereka sah dan menggunakan pekerja yang sudah berada di sini," soal Santiago.

Benarkah ada permintaan?

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa secara berperingkat dan mereka diperlukan dalam sektor perladangan.

Beliau juga berkata bilangan mereka akan diubah suai dan diagihkan kepada sektor-sektor lain termasuk pembuatan dan pembinaan.

Persatuan Pengeluar Pertanian Malaya (Mapa) menyangkal cadangan sektor itu memerlukan sebanyak 1.5 juta warga asing, mengatakan secara purata hanya terdapat kekurangan 10,000 hingga 20,000 setiap tahun kerana pekerja kembali ke negara asal dan kekosongan perlu diisi semula.

Pengarah Mapa Mohamad Audong menambah, keseluruhan sektor hanya menggunakan antara 350,000 dan 400,000 pekerja pada satu-satu masa.

"Kita juga tidak perlu 1.5 juta pekerja baharu jika dapat menyerap pekerja tanpa izin," kata Mohamad, yang organisasinya terdiri daripada pemain besar dalam perniagaan kelapa sawit seperti Sime Darby, Tabung Haji dan Felda Global Ventures.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, persatuan itu tidak melihat sebarang bukti atau tinjauan yang menunjukkan syarikat Malaysia memerlukan 1.5 juta warga Bangladesh baharu.

"Dengan pasaran yang melebihi permintaan, kami juga ragu-ragu pengambilan yang ramai ini baik untuk kesihatan jangka panjang ekonomi," kata Shamsuddin.

"Kita kini mempunyai 2.3 juta pekerja asing yang sah. Saya ragu-ragu dalam iklim ekonomi sekrang kita boleh menyerap 2.3 juta serta 1.5 juta warga asing tambahan. Pelan ini hanya akan berfungsi jika kita mengusir 1.5 juta pekerja tanpa izin terlebih dahulu. "

Shamsuddin berkata, jika aspek perniagaan dibuang dalam pengambilan pekerja asing, permintaan mereka tidak akan setinggi 1.5 juta.

Pelan ini juga tidak masuk akal memandangkan syarikat-syarikat menghadapi penurunan teruk dalam perniagaan dan pekerja Malaysia ramai diberhentikan kerja.

Tahun lalu 200,000 pekerja diberhentikan kerja dan MEF menjangkakan trend itu berterusan tahun ini.

Kekurangan bukti terdapatnya permintaan daripada syarikat menyebabkan Santiago mengesyaki rancangan itu ditaja syarikat dan pembekal buruh yang terlibat dalam industri ini.

Sebagai contoh, laporan yang mendakwa Synerflux, dikawal bekas menteri dalam negeri Tan Sri Azmi Khalid. Namanya juga berkait dengan Bestinet, sebuah syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk menjalankan sistem memproses visa dan menjalankan pemeriksaan biometrik pekerja asing.

Sistem ini digantung pada Januari tahun lalu selepas PKR mengaitkan syarikat itu dengan Azmi dan bekas pengarah Jabatan Tenaga Kerja Datuk Tengku Omar Tengku Bot.

"Tiada siapa tahu bagaimana perjanjian itu ditandatangani dan terdapat kemungkinan pembekal mempengaruhi penjawat awam yang menjalankan urusan tawaran.

"Tiada siapa dapat melihat perjanjian itu dan tidak pernah ada wakil-wakil daripada kesatuan sekerja atau syarikat apabila tawaran ini dibuat."

Melainkan Putrajaya mengeluarkan penilaian kesan keperluan buruh untuk menyokong dakwaannya, akan sentiasa ada kekhuatiran yang rancangan itu didorong ketamakan dan bukan keperluan sebenar, kata Santiago ~ The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails