Thursday, January 21, 2016

Mukhriz Bakal Dipecat?


Kemelut yang melanda kepimpinan tertinggi negeri Kedah hari ini dilihat berpunca ekoran kegagalan Menteri Besarnya (MB), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam menyusun strategi dan juga jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Menurut Penganalisis Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Shukri Shuaib, hal ini sudah diperkatakan untuk satu tempoh masa yang agak lama.

Menurutnya lagi, tiada usaha yang diambil dari pihak Muhriz untuk mempertahankan dirinya atau menambah baik perkhidmatan beliau selaku Pengerus Perhubungan Umno Negeri Kedah itu.

“Saya lihat, perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah ada betulnya, tetapi bukan semua. Apa yang saya lihat perlu diberi perhatian adalah dalam konteks menyusun jentera parti dan juga kerjasama ahli parti di peringkat akar umbi dan juga kepimpinan bahagian.

“Jadi ini lebih kepada soal visi dan gerak kerja. Dari segi persepsi rakyat, kepimpinan MB adalah bagus.” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post ketika diminta mengulas berkenaan perkara itu.

Hari ini, kepimpinan Umno Kedah merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menukar kepimpinan tertinggi negeri dan juga parti yang kini dipegang oleh Mukhriz selaku Menteri Besar dan juga Ketua Perhubungan Negeri.

Perkara itu diumumkan Ahmad Bashah bersama 14 ketua bahagian Kedah melalui sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Alor Setar kira-kira jam 3 petang tadi.

Jelas Shuaib, dari aspek pentadbiran Mukhriz di negeri Kedah, rakyat kebanyakannya berpuas hati dengan pencapaian anak Tun Dr Mahathir itu disamping hubungannya dengan rakyat yang disifatkannya sebagai baik.

“Kita tidak kata Mukhriz tidak baik untuk negeri Kedah, cuma beliau mungkin berhadapan masalah dalam soal pemantapan Umno untuk menghadapi PRU14 nanti.

“Beliau sendiri tidak ada masalah besar yang melibatkan dirinya, dari segi hubungan dengan rakyat cukup baik, tetapi kita tidak boleh bergantung kepada satu-satu tokoh sahaja untuk membangunkan negeri Kedah,” tambah anak jati Kedah itu lagi.

Malah jelasnya, perkara ini dilihat bukanlah sebagai satu krisis, sebaliknya beliau berpandangan ini merupakan satu desakan pembaharuan dari segi daya kerja dan juga tindakan.

“Mujur ini berlaku jauh dari tarikh kita nak PRU..jadi masih tidak terlalu terlewat untuk melakukan perubahan. Walaupun diliihat drastik, tetapi sekiranya ianya untuk kebaikan negeri, saya tidak lihat ada masalah.

“Apa yang paling penting di sini ialah kerjasama, dan saya lihat ini bukanlah dari sudut pandangan politik, sebaliknya ini dilihat dari konteks akademik.

“Kita mahu lihat pemantapan Umno dan jenteranya supaya Umno Kedah dapat dimantapkan semula kerjanya,” tambah beliau yang juga Pensyarah Kanan di UUM ~ The Rakyat Post


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails