Monday, January 25, 2016

Malaysia Sukar Capai Negara Maju Jika Tolak TPPA, Kata Menteri


Malaysia akan terlepas banyak peluang untuk merapatkan jurang kemajuan serta sukar mencapai status negara maju berpendapatan tinggi jika memilih untuk menolak Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Malah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata menerusi TPPA, negara dijangka menerima pelaburan tambahan sebanyak AS$136 bilion hingga AS$239 bilion selain dapat mewujudkan 2 juta peluang pekerjaan menjelang 2027 yang sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Pelaburan yang masuk ini mampu mencipta pasaran dan perniagaan lebih meluas. Jika pasaran dalam negara kecil seperti Malaysia tidak cukup, kita harus menerima pembaharuan agar perniagaan kita terus berkembang.

"Kerajaan merasakan amat penting untuk merebut peluang yang menjadi batu loncatan kepada hala tuju negara demi meningkatkan ekonomi rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat TPPA peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 di Kangar, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Setiausaha Kerajaan Negeri Ahmad Zamri Khairuddin.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Malaysia juga akan kehilangan banyak peluang perdagangan dan pelaburan jika memilih untuk menolak TPPA.

"Sebaliknya, Singapura dan Vietnam yang menyertai TPPA akan dapat menarik lebih banyak perdagangan dan pelaburan asing ke negara mereka.

"(Ini akan menyebabkan) Malaysia akan beransur-ansur ketinggalan dan menyebabkan jurang kemajuan kita dengan mereka semakin luas kerana TPPA memberi manfaat terhadap pembangunan sesebuah negara dalam pelbagai aspek termasuk peningkatan pasaran, pembangunan dasar dan kecanggihan teknologi," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar menimbang setiap maklumat TPPA dan menolak andaian tidak berasaskan fakta yang bertujuan menakutkan masyarakat.

"Kita tidak harus terpengaruh (dengan andaian) akan dikuasai Amerika Syarikat. Banyak lagi negara yang menyertai TPPA seperti Australia, Brunei, Kanada, Jepun, Singapura dan New Zealand yang bebas menetapkan hala tuju mereka walaupun menandatangani TPPA.

"Malah, TPPA tidak terus dikuatkuasakan selepas ditandatangani. Ada tempoh 6 bulan untuk kita timbang dan lihat kesan pelaksanaannya dan jika ia menjejaskan banyak perkara, kita boleh keluar tanpa syarat," katanya.

Mustapa berkata, Malaysia tidak ditekan mana-mana pihak supaya menyertai TPPA dan kerajaan telah menimbang kesannya selain memastikan hak Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak tergugat ~ The Malaysian Insider


.... Hmmmm.. nak jadi negara maju pun perlukan tongkat?.. Aparaaa..


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails