Tuesday, January 5, 2016

Konsep Patuh Syariah Hanya Mahu Untung Guna Islam‎, Kata Dr Mahathir


Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa konsep patuh syariah yang diperkenalkan Rayani Air hanyalah untuk mendapatkan keuntungan dengan menggunakan agama Islam, lapor Free Malaysia Today.

Bekas perdana menteri itu berkata, syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) tidak perlu mengikut jejak langkah penerbangan itu yang memperkenalkan konsep tersebut.

“Kita dapati pemiliknya bukan orang Islam.

"Jadi orang bukan Islam yang patuh pada ajaran agama Islam ada juga. Dia dapat keuntungan daripada agama Islam. Sekarang ini, macam-macam benda orang cari keuntungan daripada apa yang ditafsir sebagai kehendak Islam.

“Tidak payah (ambil tindakan yang sama seperti Rayani Air). Saya tengok, syarikat Arab Saudi pun tidak ada konsep patuh syariah. Kenapa kita hendak tunjuk kita ini lebih Islam daripada orang lain,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama portal itu.

Dr Mahathir turut membidas dakwaan mengkritik MAB masih menghidangkan arak kepada penumpang syarikat penerbangan berkenaan.

“Tidak ada. Tidak hidang alkohol lagi. MAS lama sudah berhenti. Benda itu sebenarnya tidak patut timbul. Negara Islam dan penduduknya 100% Islam juga tidak suruh buat macam itu (hentikan menghidangkan alkohol sewaktu penerbangan).

“Kita hendak tunjuk kita ini lebih Islam dari mereka. Orang yang tidak pakai tudung pun Islam juga. Orang yang buat dosa juga Islam. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya kata orang itu tidak Islam. 

"Adakah melayan penumpang dengan tudung menunjukkan kita lebih Islam?” soalnya.

Rayani Air bulan lalu memperkenalkan imejnya sebagai syarikat penerbangan patuh syariah yang mewajibkan anak kapal kabinnya memakai tudung bagi yang beragama Islam.

Syarikat itu juga menyediakan makan minum daripada sumber halal, melarang minuman keras dan mengamalkan bacaan doa sebelum memulakan penerbangan.

Rayani Air mempunyai 355 kakitangan, 8 juruterbang dan 50 petugas anak kapal kabin.

Nama Rayani Air merupakan hasil gabungan nama pemilik syarikat penerbangan itu iaitu Ravi Alegandrran dan isterinya Karthiyani Govindan.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails